mutakhir

Tak mengaku buat tak senonoh

Melaka: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tiga pertuduhan iaitu menyamar pegawai polis, melakukan pemerasan dan persetubuhan luar tabii di dua lokasi berasingan, awal bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Syafiq Mustafa, 21, berasal dari Merlimau, Jasin mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Syafiq melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam kereta Proton Saga di tempat letak kenderaan Kawasan Rehat dan Rawat Pintu Gerbang Ayer Keroh jam 8 malam, 6 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap Abdul Gahni Zamani, 22, hingga menakutkan mangsa dan mendorongnya menyerahkan wang RM100.

Muhammad Syafiq didakwa memeras lelaki itu dengan mengatakan polis trafik akan membawa mangsa ke balai polis dengan kesalahan terbabit dilakukan di Batu 5, Kampung Sungai Putat, Batu Berendam pada jam 6.30 petang, 6 Januari lalu.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menyamar pegawai polis dengan mengetahui dirinya tidak memegang jawatan itu di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut pertuduhan kedua.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 5:10am
d