mutakhir

Rezeki 40,000 pemburu kerja

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur : Lebih 25,000 peluang pekerjaan dan latihan ditawarkan kepada orang ramai terutama pencari kerja sempena Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Peringkat Zon Tengah 2017 yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 21 dan 22 Februari ini.

Program berkenaan diselia Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, program ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia mencari pekerjaan dan latihan di bawah satu bumbung.

Menurutnya, tahun ini, terdapat lebih 100 syarikat terkemuka mengambil bahagian dan ini peluang terbaik bagi pencari kerja membina kerjaya impian masing-masing.

“Peluang pekerjaan
dan latihan yang ditawarkan sesuai untuk semua peringkat tanpa mengira latar belakang
dan kelulusan.

“Sesi temuduga akan dijalankan secara langsung oleh pihak syarikat berkaitan, justeru, calon dinasihati membawa seberapa banyak salinan resume dan sijil berkaitan untuk merebut peluang pekerjaan yang disediakan di lebih 100 gerai daripada pelbagai lapangan industri.

“Kriteria kelulusan bermula dari tahun enam hingga doktor falsafah (PhD). Menariknya ada syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada mereka yang hanya ada kemahiran membaca saja,” katanya.

Menurutnya, mereka menjangkakan kehadiran lebih 40,000 pengunjung selama dua hari program berlangsung dan banyak aktiviti menarik diatur bermula 7.30 pagi hingga 6 petang.

“Istimewanya pengunjung terawal bakal membawa pulang beg mengandungi cenderahati khas dari kami dan pengunjung juga berpeluang membawa pulang banyak hadiah misteri dalam cabutan bertuah termasuk iPhone 7 dan pembiayaan ‘Oxbold Extreme Sports Malaysia: One Day Pilot Program’.

“Selain temu duga, kita juga akan mengadakan sesi Tip Gerenti Sukses yang terbuka kepada semua pencari kerja dan pengunjung untuk memberi gambaran hala tuju dan menaikkan semangat dan motivasi kepada mereka,” katanya.

Katanya, kekosongan dibuka kepada semua pengunjung manakala program latihan SL1M khusus untuk graduan yang menganggur mahupun berkeinginan membina kerjaya masa depan bagi meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga.

“Bagi peserta SL1M, mereka akan menjalani lima latihan kemahiran insaniah dan teknikal dan meningkatkan keyakinan diri serta diberi pendedahan suasana kerja sebenar.

“Program latihan dan kemahiran ini akan membantu graduan meningkatkan tahap keupayaan diri mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja yang dapat menjadi nilai tambah peluang mereka mendapatkan pekerjaan.

“Semua kos perbelanjaan melatih mereka akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat yang memilih mereka,” katanya.

Kata Norashikin, sempena program itu, pihaknya turut melancarkan Buku FAITH, Sistem Pengurusan SL1M dan Kick Off Temuduga Terbuka SL1M yang dijangka disempurnakan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak di Dewan Merdeka PWTC pada 21 Februari ini.

“Ini adalah program permulaan untuk Temuduga Terbuka SL1M 2017 yang bermula dari Zon Tengah. Sempena majlis ini, SL1M turut membawakan 28 pelatih SL1M yang berjaya memperoleh kejayaan selepas menyertai program ini. Kisah perjuangan mereka dirakam dan dicoretkan dalam bentuk naskhah dan video kapsul.

“Selepas ini, SL1M akan menjelajah ke lima zon seluruh negara iaitu pada 29 dan 30 Mac di Universiti Malaysia Pahang (UMP), 19 dan 20 April di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) seterusnya ke Alor Setar, Kedah; Kota Belud, Sabah dan Melaka.

“Sepanjang jelajah ini, kita turut membawakan empat ikon SL1M terdiri daripada tiga beradik daripada Kumpulan Zero Maharaja Lawak Mega dan Faizal Tahir untuk berkongsi pengalaman hidup mereka sebelum bergelar artis sebagai motivasi kepada calon,” katanya.

Katanya, SL1M menyeru semua pihak termasuk syarikat swasta yang belum mengambil bahagian untuk bersama terbabit dalam membantu graduan tempatan meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka, sekali gus dapat memperbaiki taraf ekonomi negara.

“Uniknya, program ini bukan saja memberi manfaat kepada graduan dan pencari kerja, malah mana-mana syarikat yang terbabit turut diberikan Insentif Potongan Cukai Berganda atau skim HRDF-SL1M dalam usaha menggalakkan lagi syarikat swasta terbabit dalam program CSR ini.

“Ia juga sebagai platform syarikat mendapatkan calon berpotensi sebagai pekerja syarikat atau tenaga kerja berbakat sedia ada bagi memenuhi keperluan syarikat di masa depan,” katanya.

Sementara itu, ahli Kumpulan Zero Mohd Syaiful Doli Sharif yang juga abang sulung kepada adik-beradik berkenaan berbesar hati kerana dapat bekerjasama membantu pihak SL1M menjayakan program berkenaan dengan memberikan semangat motivasi kepada graduan dan pencari kerja melalui perkongsian pengalaman hidup mereka sebelum bergelar penghibur.

“Saya sendiri hanya sekolah setakat tingkatan satu dan macam-macam pengalaman pernah saya tempuhi sebelum masuk bidang ini.

“Dulu kami hidup susah dan saya juga pernah kerja kantin dengan upah hanya RM50 sebulan untuk membantu ayah kami yang OKU menyara keluarga kami yang besar.

“Bagi saya, kalau nak mengubah nasib dan berjaya, kita jangan berputus asa,” katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2017 @ 8:56pm
d