mutakhir

'Nasib baik belum beli kereta baru lagi'

Alor Setar: “Saya memang berniat hendak beli Volkswagen sebab nak tukar kereta lama, awal bulan ini pun, saya ada minta anak saudara pergi tengok kereta (Volkswagen) Vento untuk dibeli,” kata ibu tunggal, Chong Chee Ken, 50, yang muncul pemenang hadiah utama pertandingan ‘Drive Me Home-Win a Beetle’ sempena ulang tahun pertama pusat beli-belah Aman Central, semalam.

Menurutnya, dia yang amat meminati jenama Volkswagen tidak yakin akan memenangi pertandingan itu sekali gus membawa pulang Volkswagen Beetle.

“Semasa dihubungi Aman Central, saya memang tak mahu datang (hari ini) sebab saya rasa mustahil nama saya boleh menang, malah semua borang pun pekerja cawangan Tomei tempat saya berbelanja yang tolong isikan.

“Selepas dapat tahu nama saya disenarai pendek, rakan-rakan dan saudara bergurau minta saya berdoa banyak-banyak dan hari ini, saya gembira sebab menang,” katanya.

Menurut Chong, dia hampir membeli Vento dua minggu lalu dan bagi pertandingan berkenan, dia menghantar kira-kira 200 borang penyertaan.

“Saya memang tak sangka akan menang hadiah utama itu apatah lagi saya dimaklumkan lebih 100,000 penyertaan diterima penganjur,” katanya.

Chong antara 68 finalis yang disenarai pendek daripada lebih 100,000 penyertaan peraduan berlangsung 1 Oktober hingga 5 Februari lalu.

Dia yang menyertai kelompok lapan peserta bertuah disenarai sebagai dua peserta akhir untuk layak menyertai cabutan utama, sebelum kunci dipilihnya berjaya menghidupkan Volkswagen Beetle bernilai RM135,888 yang dipamerkan.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan serta Kerja Raya negei, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Hadir sama Pengarah Urusan Belleview Group merangkap pemilik Aman Central Datuk Sunny Ho.

Disiarkan pada: February 17, 2017 @ 5:01am
d