mutakhir

Salah ayat, huruf, baris

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Nilai: Ayat al-Quran ditulis dalam bentuk seperti pasu, kapal, pedang atau pisau dan dijual pada harga antara RM80 hingga RM200.

Itu antara penemuan selepas Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan operasi di premis di Nilai 3, semalam.

Ia membabitkan ayat Seribu Dinar, Kursi, al-Fatihah dan empat Qul sebelum dibingkaikan untuk dijual kepada pelanggan.

Ketua Operasinya Shamsinar Mohd Jaafar berkata, perbuatan itu menyalahi garis panduan ditetapkan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, halangan penjualan barangan sedemikian bagi menjaga kesucian al-Quran kerana dikhuatiri jika ia rosak atau pecah, pemilik akan membuangnya.

Beliau berkata, premis berkenaan antara enam diperiksa kerana disyaki menjual barangan hiasan menggunakan ayat al-Quran yang mempunyai kesalahan pada tulisan dan huruf.

“Operasi Antara Negeri yang bermula jam 8.30 pagi hingga 3 petang membabitkan 60 pegawai dan anggota KDN serta polis. Kami memeriksa enam premis disyaki menjual barangan hiasan yang ada beberapa kesalahan ayat, huruf dan baris.

“Hasilnya, sebanyak 296 bahan al-Quran pelbagai saiz dirampas dengan anggaran rampasan RM59,200,” katanya selepas tamat operasi berkenaan, semalam.

Shamsinar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 14, Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986 dan Seksyen 7, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau menasihati orang ramai yang mahu mendapatkan barangan perhiasan menggunakan ayat al-Quran supaya memastikan ayat itu betul sebelum membelinya.

Disiarkan pada: February 17, 2017 @ 5:04am
d