mutakhir

Selaras dana QDF

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), beberapa kementerian dan agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dipertanggungjawabkan untuk menyelaras Dana Pembangunan Qatar (QDF).

Keputusan itu diambil pada mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Pengurusan Etnik Rohingya Pemegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Perdana Putra di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, dana berkenaan akan digunakan untuk kebajikan 56,135 etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR di negara ini.

“Dana ini bagi melaksanakan tiga aspek utama untuk etnik Rohingya, Myanmar yang memegang kad UNHCR di Malaysia iaitu latihan, pendidikan dan kesihatan yang akan memberi kesan positif dalam jangka panjang.

“Dari segi latihan kemahiran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melancarkan Projek Perintis Kebenaran Bekerja kepada 300 etnik Rohingya pemegang kad UNHCR di Malaysia bermula 1 Mac depan,” katanya selepas mesyuarat berkenaan.

Pada lawatan Ahmad Zahid ke Qatar pada 4 hingga 7 Februari lalu, kerajaan Qatar mengumumkan untuk menyalurkan dana bagi membantu etnik Rohingya di Malaysia menerusi QDF, sekali gus menunjukkan sokongan negara itu terhadap Malaysia untuk membela pelarian Rohingya

Ahmad Zahid berkata, etnik Rohingya berkenaan akan bekerja di sektor perladangan dan sektor perkilangan untuk tempoh tiga tahun sementara menunggu masa untuk mereka pulang ke negara asal atau ditempatkan di negara ketiga.

Katanya, perincian bagi program latihan separa mahir dan mahir, pendidikan untuk anak Rohingya serta skim insurans kesihatan akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa NGO berkaitan.

Disiarkan pada: February 18, 2017 @ 7:17am
d