mutakhir

Tunggu 8 malam

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Lundu: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu akan diketahui jam 8 malam ini.

Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, keputusan itu diperoleh lebih awal berikutan ada beberapa pusat pengundian yang mempunyai bilangan pengundi sedikit ditutup lebih awal.

Beliau berkata, empat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Melano, SK Stoh, Balai Raya Rambungan dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sarayan Selarat ditutup seawal jam 12 tengah hari.

Menurutnya, semua 16 pusat pengundian dengan 25 saluran dibuka bermula jam 8 pagi ini selepas semua persiapan dilakukan semalam.

“Pengundi dinasihatkan keluar mengundi awal bagi mengelakkan sebarang masalah khususnya keadaan cuaca yang tidak menentu di kawasan Tanjong Datu sejak beberapa hari lalu.

“Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca tidak menentu dengan hujan di beberapa kawasan esok (hari ini),” katanya selepas menghadiri sesi Proses Semakan Peti Undi di Dewan Masyarakat Lundu, di sini, semalam.

Mohd Hashim berkata, setakat ini pihaknya berpuas hati dengan perjalanan kempen bagi semua parti bertanding kerana tidak berlaku insiden tidak diingini.

Katanya, keharmonian perjalanan PRK di Tanjong Datu perlu dijadikan contoh kerana semua pihak khususnya parti bertanding menghormati antara satu sama lain.

Hari ini, seramai 9,771 pengundi akan membuang undi di 16 pusat pengundian membabitkan 25 saluran di DUN Tanjong Datu.

Ahad lalu, 162 daripada 188 pengundi awal yang mewakili 1.9 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan terdiri daripada anggota tentera dan polis bersama pasangan mereka keluar membuang undi.

Dalam PRK DUN Tanjong Datu ini, Barisan Nasional diwakili Puan Sri Jamilah Anu manakala Johnny Aput mewakili Parti Reformasi Sarawak dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru diwakili Rapelson Richard Hamit.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung, 11 Januari lalu.

Disiarkan pada: February 18, 2017 @ 7:26am
d