mutakhir

Lulus dengan syarat...

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Kerajaan masih boleh mempertimbangkan untuk membenarkan perkhidmatan Dego Ride beroperasi secara sah di negara ini namun perkhidmatan itu perlu ditetapkan dengan syarat serta penyediaan jaminan buat penumpang.

Penyelidik Kejuruteraan Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hussain Hamid berkata, kerajaan sangat menitik berat mengenai isu keselamatan dan aspek itu perlu diperketatkan dalam peraturan perkhidmatan Dego Ride sekiranya ia mahu diluluskan.

Katanya, sebagai langkah bagi mengelak kesesakan, jimat masa dan tambang murah, Dego Ride adalah cetusan idea yang boleh diterima masyarakat sebagai sebuah pengangkutan awam yang relevan, namun perlu diperketatkan dengan syarat.

“Perkara utama adalah spesifikasi keselamatan seperti penggunaan topi keledar berkualiti yang diluluskan SIRIM, kelajuan motosikal yang dihadkan dan pemakaian serta motosikal berwarna cerah.

“Selain itu, penumpang perlu diberi jaminan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. Oleh itu, Dego Ride perlu menyediakan insurans dan menanggung sebarang kerugian penumpang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, syarat dari aspek keselamatan sangat diberi keutamaan kerana kenderaan bermotosikal di Malaysia termasuk dalam senarai kumpulan berisiko tinggi bersama penunggang basikal dan pejalan kaki.

“Kumpulan ini antara golongan yang berkongsi jalan raya dengan kenderaan automobil yang mana mereka melanggar atau dilanggar, risiko buruk tetap dihadapi oleh kumpulan ini.

“Kira-kira 65 hingga 70 peratus mangsa maut dalam kemalangan adalah membabitkan penunggang atau pembonceng motosikal dan kebanyakannya berpunca kecederaan parah di kepala.

“Oleh sebab itu, topi keledar perlu diberi keutamaan dan seterusnya syarat dari aspek keselamatan pada motosikal serta pemakaian untuk diperketatkan kepada Dego Ride,” katanya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan perkhidmatan Dego Ride, penambahan dan pembaikan laluan motosikal perlu dilaksanakan bagi memudahkan perkhidmatan itu beroperasi seperti negara lain yang menyediakan perkhidmatan teksi motosikal.

“Banyak negara lain yang menyediakan pengangkutan awam bermotosikal seperti Thailand dan Indonesia namun mereka diluluskan dengan syarat serta mempunyai pakaian seragam sendiri.

“Malaysia masih berpeluang, namun kerajaan masih bimbang tahap keselamatan pengguna motosikal sejak tahun 1990-an lagi kerana jalan raya di negara ini mengikut reka bentuk negara maju seperti Amerika Syarikat yang tidak sesuai untuk kenderaan dua roda,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2017 @ 8:46am
d