mutakhir

Manfaat bantuan RM3.1b

Oleh Mahaizura Abd Malik

Petaling Jaya: Sebanyak RM3.1 bilion diperuntukkan bagi membiayai kos bantuan persekolahan sepanjang tahun ini yang disalurkan kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Datuk Abd Wahid Ahmad berkata, bantuan persekolahan diberikan kepada sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan dalam bentuk kewangan, penyediaan makanan dan kemudahan pengangkutan.

“Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu bantuan umum, bantuan khusus dan ‘one off’. Pada tahun lalu, terdapat 25 jenis bantuan persekolahan dengan jumlah peruntukan RM2.9 bilion.

“Tahun ini pula, KPM menstruktur semula bantuan ini kepada 19 jenis bantuan membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM3.1 bilion. Tahun ini peruntukan meningkat RM95.8 juta,” katanya.

Semua peruntukan ini telah mula disalurkan secara berperingkat ke sekolah dan akaun murid bermula awal tahun inidan KPM berusaha untuk menyalurkan semua peruntukan selewat-lewatnya pada akhir Mac 2017. Ini kerana KPM perlu mengesahkan data yang diterima melalui sistem bagi memastikan hanya penerima yang layak sahaja menerima bantuan ini.

“Sebanyak lima bantuan persekolahan umum berjumlah RM941.2 juta diberikan kepada semua murid (mengikut enrolmen) tanpa sebarang syarat atau kriteria khusus yang disalurkan terus kepada pihak sekolah untuk membantu pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta aktiviti luar bilik darjah seperti keceriaan dan sebagainya.

“Bantuan persekolahan khusus yang membabitkan 12 jenis bantuan pula disalurkan kepada murid yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan bagi membantu murid dari keluarga berpendapatan rendah, kelainan upaya
atau yang cemerlang dalam akademik dan sukan.

“Selain itu, bantuan persekolahan ‘one-off’ pula merangkumi Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia (BKAP1M) disalurkan melalui sekolah kepada murid dalam kalangan berpendapatan RM3,000 ke bawah dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) disalurkan melalui institusi pengajian,” katanya.

Katanya, bagi murid sekolah rendah daripada golongan berpendapatan rendah di seluruh negara, mereka menerima manfaat di bawah program Rancangan Makanan Tambahan 1Malaysia (RMT1M) yang turut merangkumi Program Susu 1Malaysia (PS1M) dengan jumlah peruntukan RM299.9 juta.

“Inisiatif ini bertujuan menyediakan makanan berkhasiat dan nutrien seimbang bagi membantu murid memberi tumpuan kepada pembelajaran dalam kelas.

“Kerajaan juga menyediakan Bantuan Makanan Asrama (BMA) kepada murid yang menetap di asrama sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan atau asrama di bawah kerajaan negeri dengan jumlah peruntukan RM1.07 bilion.

“Menerusi bantuan ini, ibu bapa hanya dikenakan yuran asrama minimum berdasarkan pendapatan RM5,000 dan ke atas bayaran RM3 sehari dan RM4,999 dan ke bawah hanya perlu membayar RM1 sehari,” katanya.

Abd Wahid berkata, kerajaan juga menyediakan peruntukan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) RM118 juta kepada murid daripada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Peruntukan RM100 juta juga disediakan untuk Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMK) kepada murid orang kurang upaya (OKU) yang mempunyai kad OKU dan mendaftar dalam sistem.

“Pendidikan Orang Asli juga tidak dipinggirkan apabila semua bantuan umum yang disalurkan
ke sekolah turut diterima murid daripada golongan Orang Asli serta menerima bantuan khusus melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

“Selain itu, kerajaan turut membelanjakan peruntukan sejumlah RM3.5 juta untuk program Kelas Dewasa Ibu Bapa Orang Asli dan Penan (KEDAP),” katanya.

Menurutnya lagi, sejumlah RM18 juta disalurkan menerusi Pengangkutan dan Perjalanan Murid (PPM)
bagi meringankan kos pengangkutan murid yang menetap di asrama untuk pulang ke tempat asal atau mengikuti aktiviti di luar asrama.

“Pada masa yang sama, menyedari kepentingan keselamatan murid berulang-alik ke sekolah menggunakan pengangkutan air, kerajaan turut menyediakan peruntukan untuk pembelian Jaket Keselamatan Murid (JKM) dengan peruntukan berjumlah RM500,000,” katanya.

Sementara itu, katanya, sejak tahun 2003 lagi, pihak kementerian menubuhkan KWAPM bertujuan membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada meneruskan persekolahan akibat kemiskinan selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib mengikut Seksyen 29A, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Sumber utama Tabung KWAPM ialah peruntukan kerajaan serta sumber kedua terbesar adalah daripada badan korporat, skim potongan gaji bulanan secara sukarela bagi semua kakitangan perkhidmatan awam dan individu perseorangan yang diperolehi melalui penyertaan KPM dalam pelbagai program anjuran kementerian mahupun agensi luar.

“Bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini sumbangan daripada pihak swasta semakin berkurangan dan KPM terpaksa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan yang menyebabkan langkah penstrukturan semula kadar bantuan dilakukan pihak kementerian.

“Oleh itu, kita amat mengalu-alukan pembabitan individu dalam mengisi tabung ini demi memastikan masa depan murid miskin mendapat hak pendidikan seperti murid lain,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2017 @ 9:10am
d