mutakhir

Legasi diteruskan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Lundu: Legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem diteruskan apabila Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, semalam.

Calon BN, Puan Sri Jamilah Anu, 62, menewaskan dua pencabarnya daripada Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru dengan majoriti 6,443 undi.

Calon STAR, Johnny Aput mendapat 108 undi dan calon PBDS Baru, Rapelson Richard Hamit mendapat 130 undi. Ia bermakna kedua-duanya kehilangan deposit.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Tanjong Datu Hamsein Attar di Dewan Masyarakat Lundu di sini, tepat jam 7.55 malam tadi.

Menurut Hamsein, secara keseluruhan, 6,892 daripada 9,959 pengundi yang mewakili 69.2 peratus keluar menunaikan tanggungjawab mengundi semalam.

“Hasil pengiraan undi yang dijalankan, sejumlah 80 kertas undi ditolak dan satu kertas undi tidak dikembalikan,” katanya ketika ditemui.

Rekod cemerlang Jamilah ini meneruskan kecemerlangan Allahyarham Adenan yang mesra dengan panggilan Tok Nan apabila menang selesa dengan majoriti 5,892 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 pada Mei 2016.

Sementara itu, Pengarah Jentera PRK Tanjong Datu Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menganggap kemenangan BN adalah kesinambungan untuk meneruskan legasi Tok Nan.

“Tiga faktor yang dilihat sebagai penyumbang utama kemenangan antaranya kecemerlangan yang ditinggalkan Tok Nan, pembabitan Jamilah dalam kalangan masyarakat Tanjong Datu dan jentera parti yang kuat dan kukuh ketika berkempen.

“Isu yang dijaja parti lawan dilihat gagal meraih perhatian pengundi yang terbukti masih berpegang teguh dengan kecemerlangan BN yang terbukti memperjuangkan semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: February 19, 2017 @ 8:38am
d