mutakhir

Tak hirau sakit

Oleh Zulfa Mohamad

Tasek Gelugor: Dua beranak mengetepikan kesakitan dialami selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori sebuah syarikat penghantaran dengan membantu mengeluarkan pemandu dan kelindan lori berkenaan yang cedera dalam kemalangan di Jalan Nyior Sebatang, dekat sini, tengah hari semalam.

Kejadian berlaku jam 1.40 tengah hari ketika dua beranak terbabit, Mohamad Mustaqim Mohamad Salleh, 28, dan bapanya, Mohamad Salleh Abu Bakar, 50-an, menaiki Toyota Avanza dalam perjalanan dari Sungai Dua menghala Pokok Sena.

Ketika tiba di tempat kejadian, lori syarikat penghantaran dari arah sama bergesel dengan lori muatan bata dari arah Pokok Sena menyebabkan kenderaan berkenaan berpusing.

Mohamad Mustaqim yang memandu kereta berkata, sebaik lori syarikat penghantaran bergesel dengan lori muatan bata terbabit, kenderaan berkenaan merempuh bahagian kiri kereta dipandunya menyebabkan kenderaan mereka terbabas ke kiri dan remuk teruk di bahagian depan.

“Berikutan perlanggaran itu, saya dan bapa mengalami kesakitan di bahagian dada akibat terkena papan pemuka.

“Bagaimanapun, kami keluar membantu pemandu lori berkenaan dan kelindannya yang cedera sebelum orang ramai turut membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk,” katanya.

Mangsa yang cedera dikenali sebagai Mohamad Shahfazli Shahidan, 25, dikejarkan ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kepala Batas yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 1.45 tengah hari.

Pemandu lori bata berkenaan berusia 50-an pula tidak mengalami kecederaan dan berhenti beberapa meter dari tempat kejadian.

Disiarkan pada: February 19, 2017 @ 8:49am
d