mutakhir

Reda emak pergi

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Ibu kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu Che Tom Yahaya meninggal dunia akibat serangan angin ahmar di Hospital Pakar KPJ Damansara, dekat sini, jam 2.14 pagi semalam.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, jenazah Che Tom, 82, dibawa ke Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang bagi pengurusan dan solat jenazah sebelum dibawa pulang ke kediaman keluarga di Kampung Klang Gate, Hulu Klang.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate Baru, di sini, jam 11 pagi semalam.

Azmin berkata, ibunya sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan 10 Oktober tahun lalu apabila mengalami serangan angin ahmar buat kali pertama.

“Pada Sabtu lalu beliau diserang angin ahmar kali kedua, kali ini serangan itu agak serius dan kritikal.

“Beliau ada rekod sakit jantung dan menjalani rawatan berkala di IJN (Institut Jantung Negara), tetapi tidak serius sehingga diserang angin ahmar,” katanya kepada pemberita selepas urusan pengebumian ibunya dekat sini.

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menziarah dan menunaikan solat jenazah.

Disiarkan pada: February 19, 2017 @ 9:08am
d