mutakhir

Raih RM1,000 sehari!

Oleh Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Mampu raih pendapatan sehingga mencecah RM1,000 sehari hanya dengan menjual surah Yasin. Itu kegiatan dilakukan sindiket peminta sedekah warga asing yang dikesan mengeksploitasi kanak-kanak untuk meraih simpati ramai.

Bagaimanapun sindiket membabitkan warga Rohingya itu diberkas Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG), Bukit Aman menerusi Op Pengemis dilakukan di sekitar ibu kota semalam.

Menerusi operasi bermula jam 3 hingga 6 petang itu, seramai 16 individu termasuk lapan kanak-kanak ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan mengemis.

Malah, terdapat antara mereka yang ditahan dikesan menggunakan anak dan cucu bagi mengemis.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, operasi dilaksanakan hasil risikan dilakukan selama dua minggu berhubung kegiatan sindiket itu.

Katanya, pihak polis berjaya menahan lapan penjaga termasuk enam wanita berusia 50 hingga 60 tahun.

“Kami juga menahan lapan kanak-kanak termasuk lima kanak-kanak perempuan yang dieksploitasi bagi menjual surah Yasin kepada orang ramai di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid India dan Jalan Bukit Bintang, di sini.

“Semua yang ditahan adalah warga Rohingya yang memegang Kad Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM802 dan 95 naskah buku surah Yasin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, semalam.

Khairi berkata, hasil pemerhatian selama dua minggu terhadap sindiket terbabit mendapati mereka bergerak dari kediaman yang terletak di Pandan Mewah, Ampang ke ibu kota menggunakan perkhidmatan awam seperti bas dan Transit Aliran Ringan (LRT).

Katanya, sindiket terbabit juga dikesan menggunakan pendekatan memaksa dan mendesak orang ramai bagi membeli buku surah Yasin.

“Mereka memperoleh buku surah Yasin terbabit pada harga RM1.50 senaskah dan menjualnya kepada orang dengan harga RM5.

“Kami melihat terdapat unsur eksploitasi terhadap kanak-kanak terbabit dan mereka perlu menyerahkan duit diperoleh kepada penjaga sebelum meneruskan kembali aktiviti mengemis,” katanya.

Disiarkan pada: February 19, 2017 @ 9:32am
d