mutakhir

Ukay Wizard juara MAB Hackathon tewaskan 20 pencabar lain

Oleh Siti Fatimah Hassan

Petaling Jaya: “Cabaran paling besar ialah apabila kami semua perlu menyiapkan sebuah aplikasi dalam tempoh singkat. Pada mulanya, kami masih tidak percaya apabila diumumkan sebagai pemenang yang berjaya membawa pulang RM20,000 kerana ini adalah kali pertama saya menyertai acara seperti ini,” kata pengaturcara komputer, Razman Yusof Mohd Sarit, 34, selepas pasukannya, Ukay Wizard diumumkan sebagai juara dalam Malaysia Airlines Berhad (MAB) Hackathon, di sini, semalam.

Ukay Wizard yang turut disertai Abdul Athif Abdul Rahman Sani, 26, Ikram Syakir Mohd Amin, 21, dan Muhammad Hibatullah Rashid Razak, 26, berjaya mengalahkan 20 pencabar lain peringkat akhir 25 jam dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 bersama tiket penerbangan pergi-balik kelas ekonomi ke London.

Pasukan terbabit membangunkan sebuah prototaip aplikasi yang dikenali sebagai MUM (Malaysian Unaccompanied Minor) bagi membolehkan penumpang bawah umur dipantau lokasi mereka oleh penjaga atau ibu bapa masing-masing.

Menurut Razman, terdapat ramai penumpang bawah umur yang mengikuti penerbangan khususnya Malaysia Airlines tanpa ditemani penjaga sah atau ibu bapa dan aplikasi itu mampu mengurangkan kebimbangan mereka terhadap keselamatan anak masing-masing.

“Kita membangunkan aplikasi ini bagi membantu penumpang bawah umur yang tidak ditemani sesiapa. Ramai yang didapati menaiki penerbangan secara bersendirian namun pada masa sama, pergerakan mereka tidak dapat dijejaki oleh ibu bapa bagi memastikan anak selamat.

“Tujuan aplikasi ini adalah sebagai penyelesaian terhadap masalah itu selain memberi nilai tambah terhadap produk Malaysia Airlines. Kita berharap idea ini akan digunakan kerana ia tidak memerlukan kos tinggi dan hanya perlu menggunakan sistem data sedia ada di Malaysia Airlines,” katanya selepas majlis pengumuman pemenang, di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Petter Bellew dan turut disaksikan Ketua Pegawai Operasi, Izham Ismail serta Ketua Pegawai Maklumat, Tan Kok Meng.

MAB Hackathon 2017 adalah pertandingan dua hari bagi menghasilkan prototaip aplikasi dalam tempoh 25 jam yang disertai seramai 100 peserta terdiri daripada 21 kumpulan sebagai inisiatif syarikat penerbangan berkenaan untuk mencetuskan kreativiti serta hasil inovasi daripada peserta.

Pada penyampaian hadiah itu, pasukan The Gravity WolfPack diumumkan sebagai pemenang tempat kedua yang membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan tiket penerbangan pergi-balik kelas ekonomi ke Sydney, Australia manakala pasukan Paper Plane pula dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dengan hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan tiket penerbangan pergi-balik kelas ekonomi ke Seoul.

, Korea Selatan.

Sementara itu, Bellew berkata, pertandingan itu bukan hanya membantu pihaknya mencari idea baru dalam membangunkan aplikasi digital tetapi beliau bangga dengan bakat industri yang ada di Malaysia menerusi kemahiran yang ditunjukkan oleh setiap peserta.

“Saya berharap ada di antara inovasi ini dapat digunakan dalam syarikat ini, namun bukan sekadar itu saja kerana pertandingan ini membuka mata kami terhadap bakat dan potensi yang ada dalam kalangan generasi muda di sini.

“Kita perlu bangga dan mengiktiraf mereka ini yang ada di antaranya menghasilkan sesuatu lebih baik berbanding negara lain. Kita juga melihat untuk mengisi kekosongan kakitangan di bahagian pembangunan teknologi maklumat (IT) dan digital dalam tempoh enam hingga 10 bulan lagi yang kebanyakannya ditemui dalam pertandingan ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 7:35am
d