mutakhir

Sukar imbang untung

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Sebahagian besar pengusaha premis makanan sekitar Lembah Klang berdepan masalah kenaikan harga bahan mentah sejak dua minggu lalu, sekali gus menyukarkan mereka untuk mengimbangi keuntungan pendapatan.

Seorang peniaga kafe yang ditemui, Rosnia Aziz, 44, berkata, sebelum ini dia memperuntukkan perbelanjaan RM400 setiap hari bagi membeli barangan mentah di Pasar Borong Selangor.

“Saya kini terpaksa membelanjakan sehingga RM700 bagi membeli barangan sama sejak dua minggu lalu khususnya selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina.

“Hampir semua barangan naik antara RM1 hingga RM3 termasuk daging, ikan, bawang besar dan rempah ratus,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut beliau, harga sayuran paling menunjukkan kenaikan ketara sehingga ada mencecah lebih dua kali ganda berbanding harga sebelum ini.

“Misalnya saya pernah membeli timun dengan harga RM1.80 sekilogram akhir bulan lalu tapi kini terpaksa membelanjakan sehingga RM4.

“Begitu juga dengan sawi kini dijual sekitar RM11 lebih berbanding RM8 sebelum ini,” katanya.

Bagi seorang lagi peniaga gerai makanan, Ramlee Hamid, 42, kenaikan harga bahan mentah itu menyebabkan keuntungan jualannya semakin rendah.

“Saya tidak boleh menaikkan sewenang-wenangnya harga makanan dijual kerana hanya berniaga secara kecil-kecilan.

“Bagaimanapun, kami juga memikirkan perbelanjaan lain seperti keperluan harian di rumah, minyak kenderaan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ramlee, dia terpaksa melakukan perbandingan harga di beberapa pasar raya dan akan cuba mendapatkan bahan mentah pada harga paling rendah.

“Ada pasar raya menjual ayam sehingga RM9 sekilogram, manakala di tempat lain pula RM8.50.

“Biasanya harga barang di pasar raya lebih rendah berbanding di pasar basah.

“Bagaimanapun, disebabkan kekangan masa dan ingin menjimatkan minyak petrol, saya akan membeli di satu tempat saja memandangkan perbezaan harga yang tidak terlalu ketara,” katanya.

Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Johar, 20-an, mendakwa mereka terpaksa menaikkan harga bahan mentah selepas pihak pemborong menjual dengan harga lebih tinggi berbanding bulan lalu.

“Setiap kali harga petrol dan diesel naik, memang berlaku kenaikan harga jualan bahan mentah,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:11am
d