mutakhir

Perompak 'gatal'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Kumpulan samun dikenali Geng Kapak semakin mengganas di daerah ini selepas dikesan melakukan beberapa siri rompakan dengan menyasarkan farmasi bagi melakukan jenayah itu.

Terbaru, suspek merompak dua farmasi sama di Jalan Rasah dan Jalan Dato Bandar Tunggal sebelum melarikan barangan berharga serta wang tunai.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, dalam kejadian jam 6.20 petang, dua lelaki memakai topi keledar berpura-pura mahu membeli ubat gatal di farmasi berkenaan.

Katanya, seorang daripada enam pekerja melayan suspek sebelum mereka menyedari penjenayah terbabit memakai kasut serta topi keledar sama ketika merompak farmasi mereka sebelum ini.

“Belum sempat memaklumkan rakan, suspek mengacukan kapak dan meminta mangsa menyerahkan barang berharga.

“Bimbang keselamatan diri, mangsa terpaksa menyerahkan wang jualan RM1,500 dan penjenayah turut melarikan dua telefon bimbit milik pekerja,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek melarikan diri menaiki motosikal sebaik meraih rompakan bernilai RM5,000.

“Berdasarkan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, polis mendapati suspek adalah penjenayah sama merompak farmasi itu di Jalan Rasah.

“Suspek juga dipercayai melakukan rompakan di beberapa farmasi lain di daerah ini,” katanya.

Thiew berkata, polis mengesan cap jari bagi mengenal pasti dalang di sebalik kejadian dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:16am
d