mutakhir

Fahami hak masing-masing

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Polemik berhubung isu pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara perlu diselesaikan dalam suasana muhibah dan berhemah.

Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz berkata, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya kedua-dua pihak memahami had, hak dan peranan masing-masing.

Menurut beliau, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap warganegara Malaysia mempunyai hak untuk mempertahankan pandangan masing-masing, namun tidak wajar sekiranya ia mencetuskan perbalahan sesama rakyat.

“Sebab itu saya melihat pertembungan pendapat berhubung isu RUU 355 antara orang Islam dan bukan Islam ini perlu diselesaikan dalam keadaan muhibah.

“Pindaan kepada akta ini hanya satu masalah kecil berbanding dulu ketika negara hendak mencapai kemerdekaan, kita ada masalah lebih besar seperti kewarganegaraan, tetapi akhirnya kita boleh mencapai satu kata persetujuan.

“Kalau dulu kita boleh, mengapa sekarang kita tidak boleh belajar, menerima kebijaksanaan orang dulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Semalam, ketika berucap di hadapan 300,000 peserta perhimpunan RUU 355 di Padang Merbok, di sini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, golongan yang memandang negatif terhadap RUU 355 perlu melihat kembali sejarah perundangan dunia.

Beliau yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia dilaporkan berkata, sejarah memperlihatkan di mana letaknya undang-undang Islam itu dihormati oleh dunia iaitu ketika ahli undang-undang antarabangsa mengadakan seminar di Belanda selepas Perang Dunia Kedua.

Waktu itu katanya, mereka membaca terjemahan al-Quran dalam aspek undang-undang untuk menggubal undang-undang antarabangsa bagi menjamin keamanan dunia.

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga Panel Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, perbincangan kedua-dua pihak perlu diadakan secara ilmiah dan bukannya dengan mencaci, menghina atau menafikan hak masing-masing.

“Janganlah pula kita beremosi atau mementingkan kepartian politik, sebaliknya fikirkanlah mengenai kesejahteraan dan kebebasan hak antara satu sama lain.

“Perlu sentiasa beringat-ingat, berhati hati dan berlemah lembut dalam menyuarakan pandangan supaya tidak merosakkan perpaduan kaum yang sudah terjalin sejak sekian lama dulu,” katanya.

Perhimpunan bertemakan Syariah Diperkasa Rakyat Sejahtera bermula jam 2.30 petang sehingga jam 11 malam kelmarin diadakan sebagai usaha menyokong pindaan RUU 355 yang dibentangkan Abdul Hadi di Dewan Rakyat pada 24 November tahun lalu dan akan dibaca buat kali kedua di Parlimen, Mac depan.

Beliau membentangkan usul persendirian itu untuk kali pertama pada 26 Mei lalu yang antara lain bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu mahkamah syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut Islam dalam hal kesalahan.

Berikutan itu, RUU 355 menjadi polemik dalam kalangan masyarakat dan sebaik saja bermula Sidang Dewan Rakyat Oktober lalu, giliran pembentangan usul berkenaan kerap bertukar nombor giliran dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:27am
d