mutakhir

Pasangan kekasih diburu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Seorang lelaki dan wanita dipercayai pasangan kekasih diburu polis kerana disyaki terbabit dalam kejadian pecah cermin kereta sebelum melarikan dua beg milik pengunjung sebuah pasar raya di Seremban 2, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 27 tahun mendakwa kereta miliknya dipecahkan.

Katanya, dalam kejadian jam 3.15 petang, mangsa meletakkan kereta di ruang parkir tingkat bawah pasar raya berkenaan dan sekembalinya jam 4.45 petang, dia mendapati cermin belakang sebelah kiri dipecahkan.

“Disebabkan itu, mangsa kehilangan sebuah beg mengandungi alat solek dan beg mengandungi pakaian serta kasut bernilai RM500,” katanya.

Thiew berkata, pemerhatian pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan mendapati, seorang lelaki dan wanita menunggang motosikal jenis Modenas Kriss menghampiri kereta mangsa pada jam 3.55 petang.

“Pada jam 4.15 petang, dua individu berkenaan keluar daripada parkir dan pemboncengnya sambil memegang beg.

“Siasatan lanjut mendapati lelaki itu dikenali sebagai Mohd Izzat Irwan Ahmad, 31, dan dia diminta menyerahkan diri bagi membantu siasatan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Orang ramai yang memiliki maklumat mengenai lelaki itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6014999.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:32am
d