mutakhir

Drax Tun Fatimah ke Amerika Syarikat

Oleh Hasbullah Azhar

Melaka: Lima pelajar Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor teruja kerana berpeluang mewakili Malaysia dalam pertandingan robotik VEX 2017 di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada April ini.

Terdahulu pelajar berkenaan diumumkan sebagai juara pertandingan Robotik Malaysia VEX 2017 yang juga pertandingan terbuka peringkat ASEAN di Universiti Multimedia (MMU) Melaka, Bukit Beruang, di sini, semalam.

Robot ciptaan lima pelajar berkenaan melepasi ujian utama pertandingan iaitu mengangkat beban khas, sekali gus mengalahkan tiga lagi pencabar termasuk dua wakil sekolah dari Bandung, Indonesia.

Ketua Kumpulan Drax Tun Fatimah, Nureen Nadhirah Hasnulhadi, 17, berkata, robot mereka dipilih sebagai pemenang berdasarkan kepantasan bertindak, ketepatan sistem diprogramkan dan kerjasama berpasukan.

“Kami semua tidak sabar ke Kentucky, namun perlu buat yang lebih baik berbanding apa yang ada sekarang. Cabaran pasti lebih hebat kerana pasukan lain mewakili Hong Kong, Korea dan AS sendiri sebagai tuan rumah sudah lama dalam bidang ini.

“Berikutan itu kami akan lihat dan kaji semula kelemahan untuk diperbaiki. Sepanjang tiga hari berkampung, di sini, kami turut melihat kelemahan pasukan lain dan akan menjadikannya sebagai panduan sebelum ke AS nanti,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, mereka melakukan persiapan memasuki pertandingan itu sejak empat bulan lalu termasuk menonton puluhan video mengenai cara menghasilkan robot menerusi Youtube.

Menurutnya, persediaan itu turut dibantu oleh dua guru penyelia iaitu Mohd Khair Masbol dan Mat Kamil Deraman, terutama untuk memprogramkan pergerakan robot serta menempah komponen elektronik daripada syarikat VEX Robotic yang berpangkalan di United Kingdom.

“Usaha kami kerap terbantut kerana terpaksa menunggu komponen dipesan dari luar negara sampai. Selepas dipasang dan diprogramkan barulah kami dapat menguji sama ada robot itu berfungsi seperti dimahukan atau sebaliknya.

“Saya dan ahli pasukan lain turut berasa tertekan kerana komponen yang dipesan tidak sesuai dengan spesifikasi robot. Berikutan itu kami terpaksa pesan komponen lain yang lebih sesuai, semua ini memakan masa amat panjang,” katanya.

Sementara Mohd Khair yang juga juga Ketua Bahagian Teknologi Vokasional Sekolah Tun Fatimah berasa amat bangga dengan pencapaian pelajarnya.

Beliau berkata, sebelum ini Drax Tun Fatimah, menjadi juara pertandingan robotik peringkat kebangsaan berlangsung di Petaling Jaya Selangor.

“Mereka ini amat komited untuk membina robot, walaupun ia hanyalah aktiviti kokurikulum dan bukan subjek utama sekolah. Pada kebiasaan mereka berlima dan satu pasukan mewakili sekolah kami akan menghabiskan masa di makmal pada waktu petang hingga lewat malam.

“Selain menghabiskan banyak masa untuk membaiki kesilapan, kami turut membelanjakan RM6,000 untuk membeli komponen elektronik dan keperluan lain dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Keterangan gambar

1. MOHD Khair (kiri) bersama ahli kumpulan Drax Tun Fatimah, melihat robot dihasilkan mereka

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:37am
d