mutakhir

Merengek terlantar

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikian nasib seorang wanita yang terpaksa menjaga anak lelaki tunggalnya berusia tujuh tahun kerana berdepan penyakit kepala berair atau hydrocephalus.

Penyakit itu menyebabkan Uqasah Darwish Mohd Aiman Anis terlantar dan tidak dapat bergerak serta bercakap seperti rakan seusianya lain biarpun sudah berusia tujuh tahun.

Lebih menyedihkan, Nurulhain Aisya Yahya, 25, terpaksa menjaga sendirian anaknya Uqasah Darwish selepas berpisah dengan bekas suaminya sejak enam tahun lalu.

Nurulhain Aisya berkata, Uqasah dikesan mengalami masalah itu ketika berusia empat bulan kerana saiz kepalanya didapati lebih besar berbanding bayi normal.

“Sejak dari itu, semakin hari kepala anak saya semakin membesar dan setiap kali mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian saiz kepalanya juga bertambah satu sentimeter.

“Disebabkan penyakit itu, anggota badannya tidak dapat digerakkan dan terlantar serta sesekali kedengaran suaranya merengek,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Lating, Nilam Baru, semalam.

Menurutnya, tiga tahun lalu anaknya pernah menjalani pembedahan membuang air di dalam kepala sebanyak dua kali di HUSM dan selepas itu kepalanya tidak lagi membesar seperti sebelumnya.

“Sebelum ini, doktor ada maklumkan Uqasah mungkin dapat berjalan, tetapi untuk melihatnya berjalan normal seperti kanak-kanak lain memerlukan masa yang lama.

“Saya sedar harapan untuk melihat Uqasah pulih agak sukar, namun sementara dia masih ada, sebagai ibu saya akan usahakan yang terbaik untuknya walaupun terpaksa menebal muka meminta bantuan,” katanya.

Nurulhain berkata, setiap bulan dia perlu membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk membeli keperluan anaknya seperti lampin pakai buang dan juga susu formula menggunakan wang bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh Uqasah sebanyak RM300 sebulan.

“Dalam masa sama dengan keadaan Uqasah yang memerlukan saya berada di sisinya 24 jam menyebabkan saya berat hati meninggalkannya sendirian untuk mencari rezeki di luar.

“Berikutan itu, saya hanya mengharapkan bantuan daripada keluarga dan adik-beradik yang lain untuk membantu kami dua beranak,”katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Nurulhain Aisya Yahya di nombor 03021-41-00004921-3.

Disiarkan pada: February 20, 2017 @ 8:45am
d