mutakhir

Usaha banteras rasuah global

Oleh Nur Izzati Izzah Nadzi

Shah Alam: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) sebagai usaha menangani rasuah secara global.

IACA adalah sebuah organisasi antarabangsa yang berperanan dalam bidang antirasuah dan integriti dalam kalangan pegawai dari negara membangun.

Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pihaknya merasakan keperluan untuk pegawai antirasuah mempunyai diploma dalam pengurusan.

“Sebelum ini, pegawai terbabit sudah mengikuti kursus di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang hanya menganugerahkan sijil penyiasatan.

“Sehubungan itu, mereka perlu mempunyai diploma yang diiktiraf oleh IACA di Vienna, Austria,” katanya pada sidang media selepas majlis itu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Eksekutif IACA Martin Kreutner yang menandatangani MoU itu bersama Hassan.

Menurutnya, memorandum itu akan disusuli dengan pelaksanaan beberapa aktiviti yang akan dijalankan oleh UiTM.

“Ia antaranya membabitkan pertukaran kakitangan antara kedua-dua institusi, pengenalan program diploma antirasuah, simposium dan kursus jangka masa pendek,” katanya.

Kata Hassan, ia turut berupaya mengatasi masalah kekurangan pengetahuan, kemahiran, kesedaran dan operasi dalam bidang anti rasuah.

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 5:04am
d