mutakhir

Leka golek bola

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sungai Buloh: Ubah suai kilang kosong menjadi ‘kasino mini’ untuk bertaruh judi bola golek. Itu antara kegiatan haram dilakukan sekumpulan lelaki warga asing berhampiran Kampung Baru Subang di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun dibongkar sekumpulan anggota polis Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hasil serbuan jam 8.30 malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pihaknya melakukan risikan selama dua minggu sebelum 23 pegawai dan anggota ditugaskan melakukan serbuan berkenaan.

“Hasil serbuan itu, polis menahan 13 individu termasuk dua penganjur pertaruhan judi itu.

“Turut dirampas peralatan judi bola golek serta wang tunai berjumlah RM1,993. Berdasarkan risikan, pihak polis mendapati markas judi terbabit aktif sejak dua bulan lalu,” katanya.

Fadzil berkata, aktiviti pertaruhan di markas judi itu dijalankan pada hujung minggu dan cuti umum bermula jam 9 malam.

“Kebanyakan individu yang menyertainya adalah penghuni dari kawasan setinggan berhampiran.

“Kumpulan kaki judi itu juga turut memantau setiap peserta yang memasuki kawasan berkenaan bagi mengelak dikesan polis,” katanya.

Menurutnya, semua suspek berusia 20 hingga 66 tahun itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Fadzil, siasatan mendapati kegiatan pertaruhan judi itu menjadi tarikan warga asing yang menetap di kawasan kampung berkenaan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Akta Imigresen 1963, Seksyen 7(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 7(2) akta sama,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 5:04am
d