mutakhir

Pelawa pelabur China ke Perlis

Kuala Lumpur: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa pelabur China meninjau potensi pelaburan di Perlis khususnya di kawasan Lembah Chuping.

Menurut baginda, pembangunan menyeluruh di Lembah Chuping yang berkeluasan lebih 1,200 hektar itu bakal mengubah landskap ekonomi negara khususnya di Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin memaklumkan antara yang mewarnai pembangunan kawasan itu ialah cadangan membina pelabuhan darat atau Perlis Inland Port di kawasan seluas 200 hektar.

Selain itu, titah baginda, tumpuan bagi mengisi pembangunan kawasan pinggir sempadan Malaysia-Thailand itu termasuk dalam sektor logistik, tenaga hijau, pemprosesan hijau dan pengurusan sisa.

Baginda bertitah dalam majlis sambutan ulang tahun pertama Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) serta sambutan Tahun Baru Cina persatuan itu di Menara Berkembar Petronas, di sini.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta dihadiri Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden PUCM, Datuk Keith Li.

Tuanku Syed Faizuddin yakin penubuhan PUCM sejak setahun lalu akan turut menyuburkan kerjasama ekonomi Malaysia dan China yang terjalin kukuh.

Menurut baginda, pada masa ini China adalah rakan dagangan terbesar di negara ini sejak lapan tahun lalu.

Baginda berharap agar PUCM dapat memastikan anggotanya menghargai persekitaran hidup di negara ini selain menyumbang dalam aktiviti kemasyarakatan.

Tuanku Syed Faizuddin turut bertitah agar PUCM menjadi platform kepada anggotanya untuk berinteraksi dengan pihak kerajaan, pihak berkuasa dan rangkaian perniagaan tempatan.

“Syarikat China mampu memperkukuh kedudukan sekiranya mereka memahami pasaran tempatan dan mengintegrasikan perniagaan mereka dengan pasaran utama di Malaysia,” titah baginda.

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 5:10am
d