mutakhir

'Boleh beli ubat'

Sepang: Seorang warga emas yang menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semalam, akan menggunakan wang berkenaan untuk membeli ubat.

Aminah Sabarudin, 92, berkata, sejak kebelakangan ini, tahap kesihatannya agak merosot dan bantuan yang diberikan kerajaan itu dapat membantunya membeli ubat yang diperlukan.

“Kesihatan makcik semakin merosot kerana usia sudah tua. Jadi, duit RM400 yang diberi kerajaan ini dapat membantu saya membeli ubat-ubatan yang diperlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan BRIM kepada penduduk sekitar Kampung Jenderam Hilir, dekat sini, semalam.

Bantuan berkenaan diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif.

Seorang lagi penerima, Ramlah Sidin, 76, bersyukur dengan bantuan itu kerana membantu meringankan bebannya untuk membeli barang keperluan.

Bagi generasi muda pula, Amirul Amri Rosly, 22, berkata, pemberian BR1M satu keputusan terbaik kerajaan untuk membela nasib rakyat.

“Dengan RM450 yang diterima ini ia dapat membantu meringankan beban berikutan kenaikan kos sara hidup ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Shahrum berkata, seramai 177 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil menerima BR1M yang disampaikan beliau sendiri.

Katanya, mereka adalah antara 8,119 penerima dalam kawasan berkenaan yang menerima BR1M secara baucar kerana tidak mempunyai akaun bank.

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 5:17am
d