mutakhir

Tiga hari tak makan

Oleh Norazimah Narudin

Pasir Gudang: “Sejak berpindah di sini dua minggu lalu, pernah sekali kami tujuh beranak tidak makan selama tiga hari dan hanya minum air paip sahaja,” kata Norhidayah S Berry D, 25, yang tinggal dalam bangsal kecil di Jalan Suria 67, Bandar Seri Alam, di sini.

Nurhidayah dan suami, Al Daser Julasiri, 35, tinggal di dalam bangsal dibina menggunakan papan lapis dan zink di tepi rumah kedai di situ hasil bantuan orang ramai bersama lima anak berusia lapan bulan hingga sembilan tahun.

“Kadang-kadang kami dapat makan bila pemilik kedai makan 24 jam berdekatan dan peniaga di sini hantar makanan, kalau tidak kami minum air paip sahaja kerana tidak ada dapur untuk memasak,” katanya.

Menurut Norhidayah, dia sekeluarga terpaksa tinggal di situ selepas dihalau dari rumah sewa lamanya di Kampung Pertanian, Masai berikutan timbul salah faham membabitkan hal keluarga.

Nasib mereka sekeluarga ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila suaminya yang menjadi harapan mencari rezeki mengalami penyakit bisul sejak empat bulan lalu menyebabkan tidak boleh melakukan kerja.

“Sejak ada penyakit itu suami saya tidak boleh melakukan pekerjaan bertukang lagi dan mengangkat benda berat. Kami hilang mata pencarian kerana suami sakit, jadi kami sekeluarga tidak mampu menyewa tempat lebih baik daripada tempat ini,” katanya.

Nurhidayah yang berkahwin seawal usia 15 tahun dikurniakan tiga anak perempuan dan dua lelaki iaitu Nurul Wahida berusia sembilan tahun, Ainur Izaty,8, Mohamad Nazriy,6, Nurul Syazwani,4, dan Mohamad Nizhar Alif lapan bulan.

Selain mempunyai masalah kesempitan hidup dan tiada rumah, Nurhidayah berdepan masalah dokumentasi sijil kelahiran anaknya kerana mereka mendirikan rumah tangga dengan berkahwin mengikut adat suaminya yang berasal dari Sabah.

Pegawai Parlimen Pasir Gudang, Syeb Dzulfakar Shukor yang melawat keluarga berkenaan semalam berkata, pihaknya akan memberi bantuan dari segi mencarikan tempat tinggal dan membantu keluarga berkenaan mendaftarkan perkahwinan dan dokumen kelahiran kanak-kanak malang itu.

Turut menyumbangkan bantuan awal kepada keluarga berkenaan ialah Jabatan Kebajikan Mayarakat (JKM) dan pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (MAINJ).

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 5:41am
d