mutakhir

600 pegawai pantau peniaga ingkar GST [METROTV]

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Petaling Jaya: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyasarkan membuat kutipan tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM3 bilion menerusi Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Op CBOS) 3.0 tahun ini.

Melalui Op CBOS itu, kastam akan menumpukan operasi terhadap 200,000 peniaga berdaftar yang dikenalpasti di seluruh negara.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, bagi melicinkan penugasan itu seramai 600 pegawai Kastam bahagian GST, Pematuhan serta Penguatkuasaan akan turun padang bagi membuat audit ke atas peniaga berdaftar seperti pengusaha restoran, peruncit serta kedai perkakasan.

“Matlamat utama pihak kami adalah untuk memberi maklumat serta kaedah penguatkuasaan melalui pendekatan berteraskan pendidikan tanpa terlalu fokus kepada tindakan penguatkuasaan.

“Walaupun pelaksanaan GST ini sudah satu tahun 10 bulan dilaksanakan namun masih terdapat peniaga belum benar-benar memahami cara pelaksanaannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Op CBOS 3.0 di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Kelana Jaya, di sini, semalam.

Menurut Khazali, pendekatan baru itu dirasakan lebih mesra pelanggan berbanding terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan.

Disiarkan pada: February 21, 2017 @ 8:17am
d