mutakhir

Pilih sekolah sertai projek jaga tandas

Putrajaya: Beberapa sekolah di seluruh negara akan dipilih bagi menyertai projek perintis penjagaan kebersihan tandas menjelang Mac ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, pelaksanaan program itu selaras permintaan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mencadangkan 2017 sebagai tahun penjagaan tandas dalam agenda nasional.

Beliau berkata, sehingga kini, pihaknya ada beberapa senarai sekolah namun, nama sekolah itu tidak akan didedahkan sehingga program itu dilaksanakan pada bulan depan.

“Justeru, kita perlu memastikan setiap tandas di sekolah dijaga dengan baik. Pelajar dan murid juga digalakkan menjadikan kebersihan tandas sebagai amalan harian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ASISS) Kementerian Pendidikan kali ke-4, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad Khairul Kamarudin dan Ketua Pegawai Syariah Bank Islam Mohd Nazri Chik.

Ahmad Tajudin berkata, sebelum ini kementerian melaksanakan pertandingan tandas antara sekolah, namun ia tidak dilaksanakan secara berterusan.

“Kita tidak mahu pelajar hanya menjaga kebersihan tandas untuk pertandingan sebaliknya apa lebih penting amalan penjagaan dan penyelenggaraan tandas perlu dipupuk sama ada di sekolah, rumah atau kawasan awam.

“Bagaimanapun, kita juga mahu sokongan daripada ibu bapa kerana ada di antara mereka marah apabila mengetahui anak mereka perlu membersihkan tandas.

“Ketika lawatan saya di Jepun, setiap kelas ditugaskan untuk mencuci tandas dan amalan itu perlu diterapkan di negara ini melalui amalan penjagaan tandas yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Tajudin berkata, kementerian juga berbincang dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengenai cadangan NRE untuk mewujudkan mata pelajaran Alam Sekitar di sekolah.

“Perbincangan dijalankan melihat lebih lanjut silibus berkaitan alam sekitar malah, ia juga akan dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal NRE kelak,” katanya.

Terdahulu, Tajudin turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Surau Imarah Sekolah-Sekolah (ASISS) kepada sekolah yang berjaya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pulai Perdana, Johor dinobatkan sebagai juara bagi kategori Musalla Sekolah Rendah manakala, Surau Sekolah Rendah diungguli SK Ayer Tawar, Perak.

Disiarkan pada: February 22, 2017 @ 5:14am
d