mutakhir

Polis ambil keterangan pelajar bawa peluru hidup

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: Polis sudah memanggil seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di daerah ini untuk diambil keterangan selepas dia didakwa membawa peluru hidup ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah, ketika dihubungi turut mengesahkan sudah menerima laporan berhubung perkara itu.

Beliau turut mengesahkan pihaknya sudah mengambil keterangan daripada remaja terbabit susulan laporan dibuat guru disiplin sekolah berkenaan jam 12.45 tengah hari, Jumaat lalu.

“Keterangan daripada pelajar berkenaan sudah diambil, kami melakukan siasatan untuk mengetahui bagaimana dia memperolehi peluru berkenaan.

“Peluru berkenaan juga sudah diserahkan oleh guru disiplin berkenaan kepada kami untuk membantu siasatan ketika dia tampil membuat laporan,” katanya.

Shaikh Abdul Adzis berkata, pelajar terbabit bagaimanapun dibebaskan selepas pihaknya berpuas hati dengan kerjasama diberikan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu Pengarah Pendidikan Negeri Abu Bakar Sahari yang dihubungi juga mengesahkan beliau sudah dimaklumkan mengenai kejadian membabitkan remaja 14 tahun itu.

Disiarkan pada: February 22, 2017 @ 9:40am
d