mutakhir

Tak sempat umpil mesin tukar duit

Oleh myMetro

Puncak Alam: Dua penjenayah kempunan melarikan wang disimpan di dalam mesin penukaran syiling milik dobi layan diri apabila dikejar polis sebelum diberkas dengan bantuan orang ramai.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi kelmarin, dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC merah sebelum berhenti di hadapan kedai dobi di Dataran Suria, di sini.

Menurut sumber, seorang lelaki terbabit masuk ke dalam kedai dobi itu dengan memakai topi keledar sebelum cuba membuka mesin penukaran syiling itu.

“Pada masa sama seorang lagi lelaki menunggu di hadapan premis sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

“Bagaimanapun, tindakan dua lelaki terbabit diperhatikan anak pemilik kedai dobi berkenaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di premis itu sebelum menghubungi polis,” katanya.

Sumber berkata, anggota polis tiba tidak lama kemudian sebelum mengepung kawasan premis berkenaan.

“Sebaik anggota polis masuk ke dalam kedai, penjenayah dilihat cuba mengumpil mesin berkenaan menggunakan kunci pendua.

“Menyedari kehadiran polis, lelaki terbabit melarikan diri ke sebuah restoran. Malangnya orang awam yang berada di kawasan berkenaan turut membantu memberkas dua lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, dua lelaki itu dibawa ke Balai Polis Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Mereka dikatakan aktif melakukan jenayah itu sejak tahun lalu di sekitar kawasan Setia Alam, Puncak Alam serta Saujana Utama, di sini.

“Kejadian menceroboh dan mencuri duit dari mesin dobi layan diri itu dipercayai dilakukan beberapa lagi individu lain dan usaha memburu mereka sedang dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: February 22, 2017 @ 9:41am
d