mutakhir

Tuah dengar cakap isteri

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Tindakan isteri menghalang mengeluarkan deposit simpanan ternyata membawa tuah kepada pekerja stor sebuah kilang apabila memenangi kereta BMW 330e dalam cabutan bulanan Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi Januari, di sini, semalam.

Abdul Wahid Taib, 33, dari Simpang Ampat, Nibong Tebal terkejut bercampur gembira apabila dipilih sebagai pemenang bertuah sebagai ganjaran simpanan dibuat sejak 26 Januari 2015.

Menurutnya, simpanan dibuat hanya RM3,000 dan tidak menyangka terpilih untuk memenangi cabutan bertuah bagi Januari.

“Kemenangan ini seperti satu mimpi dan saya tidak menyangka halangan daripada isteri supaya tidak mengeluarkan simpanan dibuat sejak dua tahun lalu memberi tuah untuk saya membawa pulang kereta BMW.

“Saya bersyukur kepada Allah SWT selain terima kasih kepada isteri, Suhaila Che A’d, 31, di atas hadiah yang cukup istimewa ini dan ingin menggalakkan orang ramai untuk menyimpan SSP BSN walaupun serendah RM10 kerana banyak kelebihan diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hadiah SSP BSN Bulan Januari di Hotel Bayview Georgetown, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Perniagaan BSN negeri Abdul Rani Saad.

Sementara itu, Abdul Rani berkata, SSP BSN adalah produk simpanan unik kerana memberi ganjaran melebihi nilai simpanan serta ganjaran berganda melalui pelbagai cabutan ditawarkan.

Beliau berkata, BSN terus mendidik amalan menabung selain memperkenalkan konsep terbaru SSP BSN pada tahun ini dengan 12 juta, 12 jutawan dan 12 bulan sebagai ganjaran.

“Nilai keseluruhan ganjaran bernilai RM17.7 juta dan 13,536 ganjaran akan ditawarkan kepada penyimpan SSP BSN sepanjang tahun ini membabitkan 1,128 ganjaran akan diberikan setiap bulan.

“Cabutan istimewa RM1 juta ditawarkan secara berterusan setiap bulan bermula Januari hingga Disember dan setiap penyimpan yang mempunyai baki RM3,000 layak untuk menyertai cabutan,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2017 @ 5:08am
d