mutakhir

Geram lunas dendam [METROTV]

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Tembakan bertubi-tubi dilepaskan penjenayah hingga menyebabkan seorang wanita maut di Taman Pekaka, Sungai Dua, Gelugor, di sini, petang kelmarin menunjukkan mereka seolah-olah melepaskan geram kerana terlalu berdendam dengan mangsa.

Selain itu, suspek berkemungkinan diupah individu lain untuk membunuh mangsa kerana tembakan dilepaskan itu kebanyakannya tepat mengenai kepala dan badan wanita terbabit.

Mereka dipercayai mengekori kereta mangsa dan menunggu masa sesuai iaitu ketika jalan sesak sebelum menembak wanita berkenaan tanpa belas kasihan.

Menurut sumber, setakat ini, siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenalpasti motif kes terbabit kerana hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod jenayah selain tiada kaitan dengan kongsi gelap.

“Pelbagai andaian dilakukan termasuk ada yang mengatakan suspek tersalah sasaran, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenainya.

“Dalam kes ini, suspek tidak akan menembak mangsa jika tidak mempunyai sebab dan kita akan mengetahui motif kejadian jika tangkapan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya mempunyai beberapa petunjuk baru yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung kes tembak terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mendedahkan petunjuk itu kerana masih dalam siasatan dan percaya ia sekurang-kurangnya dapat memberikan polis maklumat untuk mengenal pasti suspek.

“Jenayah itu dilakukan di depan orang ramai dan dengan pelbagai teknologi seperti telefon bimbit dan sebagainya, ia sangat membantu kami dalam usaha menjejaki suspek.

“Kami turut meminta orang ramai yang mempunyai rakaman video atau gambar berhubung kes berkenaan tampil bagi membantu melancarkan siasatan,” katanya pada sidang media pada Perhimpunan Ikrar Bulanan Kontinjen Pulau Pinang, di sini, semalam.

Chuah berkata, polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian bagi mengesan suspek yang dianggap berbahaya dan perlu ditahan dengan segera.

“Hasil siasatan awal mendapati kes tembak berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap dan mangsa didapati tidak hamil seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“Setakat ini, kita siasat dari segenap aspek termasuk perniagaan dijalankan mangsa, suaminya yang juga mempunyai perniagaan berkaitan pusat hiburan serta pelbagai kemungkinan lain,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.45 petang kelmarin, mangsa Ruby Lee Poh Ai, 49, maut ditembak dua lelaki bermotosikal yang melepaskan lebih 10 das tembakan.

Disiarkan pada: February 23, 2017 @ 5:16am
d