mutakhir

Minat punya pasal...[METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Minat mendalam terhadap ayam baka mendorong seorang pemuda dari Kampung Losong Tangki Air, di sini, membelanjakan lebih RM50,000 bagi membeli spesies terbaik dari Thailand sejak Mei lalu.

Pemuda berusia 33 tahun yang mahu dikenali sebagai Naim berkata, dia meminati dan menceburi bidang penternakan ayam baka itu sejak 1997 dan pada peringkat awal hanya menternak ayam baka tempatan yang terkenal dengan jolokan ayam Ganu.

“Saya bukan saja meminatinya tetapi sangat obses dengan ayam baka sejak usia belasan tahun. Pelbagai jenis ayam baka yang pernah diternak dan sehingga sekarang ia masih menjadi hobi serta pada masa sama menjadi sumber pendapatan.

“Duit yang saya gunakan untuk membeli ayam baka terbaik dari Thailand itu ialah hasil modal pusingan menjual ayam yang diternak sebelum ini.

“Saya terpaksa mencari ayam baka terbaik dari Thailand kerana ingin memastikan anak ayam yang dihasilkan itu benar-benar berkualiti.

“Ramai peminatnya teliti dengan jenis baka ayam yang diternak, jika hanya menternak ayam baka Ganu agak sukar untuk dijual dan permintaannya tidak meluas serta terhad,” katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di rumahnya.

Naim berkata, paling mahal dia membeli ayam baka Pama dari Bangkok, Thailand dengan harga RM10,200 pada petengahan tahun lalu tetapi malangnya pada awal Januari baru-baru ini, ia mati kerana diserang penyakit sampar, di samping 55 ekor ayam yang lain.

“Saya sanggup membuat pelaburan lebih bagi memperoleh baka terbaik dan berkualiti untuk memuaskan hati pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: February 23, 2017 @ 8:45am
d