mutakhir

'Kemanisan' jodoh pilihan ibu bapa

Kajang: “Saya yakin bercinta selepas pernikahan menjadikan perkahwinan lebih bertahan, lebih-lebih lagi perkahwinan yang diaturkan oleh orang tua (ibu bapa angkat).

“Sebab itu saya setuju menerima pilihan mereka, walaupun pada hakikatnya boleh membuat pilihan sendiri ketika menuntut di Universiti Malaya,” kata Khairunnisa Aqila Ahmad Khairudin, 23.

Khairunnisa Aqila dan suami Afiq Aisar Baharudin adalah penghuni Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) yang disatukan sebagai suami isteri dalam majlis pernikahan beramai-ramai pada 27 Januari lalu.

Katanya, dia mengenali suaminya 10 tahun lalu ketika mula menetap di pusat berkenaan dan tidak menyangka itu adalah jodohnya.

“Sebelum ini kami amat jarang bertegur sapa dan mengetahui suami ada menyimpan perasaan terhadap saya tiga tahun lalu selepas diberitahu oleh ibu angkat.

“Dia memenuhi ciri-ciri suami idaman saya dan ibu bapa kandung turut menyenangi sikapnya yang baik hati,” katanya.

Lulusan Sarjana Muda Mikrobiologi itu berkata, generasi muda jangan menganggap perkahwinan yang diaturkan ibu bapa adalah sesuatu yang ketinggalan zaman kerana ia mempunyai ‘kemanisan’ tersendiri selain mengikut sunnah Rasulullah SAW.

“Rakan-rakan satu universiti tidak memberikan pandangan negatif terhadap perkahwinan saya, cuma mereka terkejut kerana selama ini saya merahsiakan pertunangan,” katanya.

Bagi Nur Izazi Johari, 15, pula, dia tidak menganggap berkahwin awal sebagai satu bebanan tetapi menjadikan kehidupannya lebih bermakna.

“Dulu ibu bapa angkat (pengurusan RPWP) jaga saya tetapi kini tanggungjawab itu beralih kepada suami Mohamad Shaiful Zainu, 24, yang juga penghuni pusat ini.

“Saya akan terus berbakti di pusat ini untuk membantu pihak pengurusan mendidik adik-adik di sini,” katanya.

Disiarkan pada: February 24, 2017 @ 9:10am
d