mutakhir

Imuniti diplomat bukan halangan

Kuala Lumpur: “Jika tiada sesuatu disembunyikan awak tak payahlah takut? Awak patut bekerjasama. Kalau enggan? Kita ada cara mengikut protokol antarabangsa,” tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengenai Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song, 44, yang diminta tampil membantu siasatan pembunuhan Kim Jong-nam.

Khalid turut mengakui Kwang-song memiliki kekebalan diplomat, namun siasatan masih boleh dilakukan dengan mematuhi protokol antarabangsa untuk mendapatkan kerjasama lelaki Korea Utara itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya, menghantar permohonan melalui Wisma Putra seterusnya diserahkan kepada Kedutaan Korea Utara untuk proses mendapatkan kerjasama Kwang-Song yang memiliki imuniti diplomat.

“Beliau (Kwang-song) mempunyai imuniti (kekebalan) diplomat, sebab itu saya cakap kami akan ikut protokol antarabangsa kerana membabitkan pegawai kanan kerajaan luar negara.

“Perkara ini (mendapatkan maklumat daripada Kwang-song) sebahagian siasatan kami dan polis ada cara tersendiri untuk menyiasat kes ini berdasarkan protokol antarabangsa,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Mengikut Konvensyen Vienna mengenai Perhubungan Diplomatik 1961, kakitangan diplomatik tidak boleh ditahan atau disimpan di pusat tahanan, namun negara asal boleh membatalkan imuniti berkenaan.

Difahamkan Kwang-song yang datang ke negara ini pada 26 September tahun lalu antara individu bertindak sebagai perancang plot pembunuhan Jong-nam yang juga abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un.

Jong-nam yang dilaporkan masuk ke negara ini menggunakan identiti Kim-chol maut selepas diserang dua wanita di kawasan Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Dua suspek wanita itu, seorang berumur 28 tahun menggunakan pasport Vietnam tertera nama Doan Thi Huong dan seorang berumur 25 tahun menggunakan pasport Indonesia dengan nama Siti Aishah. Mereka yang dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menyembur serta menekup muka Jong-nam dengan bahan dipercayai racun sudah ditahan polis manakala empat suspek lelaki Korea Utara yang dilihat dalam CCTV sudah meloloskan diri ke Pyongyang.

Malaysia, katanya, turut memohon pasukan Polis Antarabangsa (Interpol) menyenaraihitamkan empat suspek Korea Utara yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu dan sudah meninggalkan negara ini pada hari kejadian.

Ditanya sama ada Kwang-song dikehendaki kerana turut dilihat di CCTV klia2 pada hari kejadian, Khalid enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu mengganggu siasatan.

Sementara itu, katanya, polis akan mengeluarkan waran tangkap terhadap pekerja syarikat penerbangan Air Koryo, Kim Uk-il, 37, dalam masa terdekat.

“Pekerja syarikat penerbangan itu tiada kekebalan diplomatik dan kami akan mengeluarkan waran tangkap jika dia (Uk-il) gagal memberi kerjasama.

“Tiada masalah, kita akan panggil dia. Kita akan cari kalau dia tak datang,” katanya.

Beliau menolak andaian timbul isu keselamatan antara Malaysia dan Korea Utara berkaitan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Menurutnya, kes jenayah seumpamanya boleh berlaku kepada sesiapa saja dan terhadap mana-mana warganegara dengan prosedur siasatan serupa akan dilaksanakan.

“Ada isu keselamatan? Saya tak fikir begitu, ini kes jenayah yang berlaku di Malaysia membabitkan warga Korea Utara. Situasi mungkin tegang, tetapi saya rasa semua pihak harus faham.

“Ini kes jenayah yang dilakukan di sini dan polis perlu ambil tindakan sepatutnya untuk menyiasat pelakuan jenayah yang berlaku di Malaysia,” katanya.

Mengapa kami pula yang mahu dipersalahkan berhubung kematian warga mereka.

Disiarkan pada: February 24, 2017 @ 9:28am
d