mutakhir

Tak perlu jawab

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Ahli keluarga kepada ahli perniagaan wanita berusia 49 tahun yang ditembak mati di Taman Pekaka, Selasa lalu, tidak perlu menjawab atau bertindak berhubung penyebaran pelbagai khabar angin mengenai pembunuhan yang menjadi tular di media sosial.

Seorang ahli keluarga yang enggan namanya disiarkan berkata, apa saja maklumat disebarkan orang ramai berhubung kejadian itu dibiarkan kerana banyak khabar angin disebarkan tidak tepat.

“Apa yang penting, seluruh ahli keluarga mengetahui kebenarannya dan sememangnya kita tidak boleh menghalang mereka untuk menyebarkan apa juga maklumat, tetapi tidak ada keperluan untuk kami bertindak balas.

“Apa juga khabar angin disebarkan adalah tidak benar dan rasanya adalah lebih baik kami tumpukan sepenuh perhatian terhadap upacara persemadian mangsa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Cina Batu Gantung, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa ahli keluarga serta rakan mendiang Ruby Lee Poh Ai hadir memberikan penghormatan terakhir dan kelihatan mereka tidak mampu menahan kesedihan, termasuk kedua-dua ibu bapanya.

Kelihatan puluhan bunga diletakkan di sekeliling keranda dan turut kelihatan suami Ruby, Siak Kum Guan, 51, yang tiba pada jam 1 tengah hari dilihat mengesat air mata sambil berlutut di hadapan keranda untuk memberikan penghormatan terakhir.

Usaha untuk menemu bual Siak gagal kerana dia enggan bertemu dengan pihak media sebelum keluar meninggalkan tanah perkuburan tidak lama kemudian.

Turut kelihatan anak Ruby, Siak Song Phei, 22, manakala seorang lagi anak perempuan, Cassandra, 17, tidak kelihatan dan difahamkan masih di luar negara.

Sementara itu, beberapa saudara mendiang melahirkan rasa kecewa dengan laporan berita mendakwa Ruby sedang hamil dan sememangnya berasa amat tidak puas hati selepas membaca berita di akhbar.

“Walaupun Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan dalam kenyataan semalam bahawa Ruby tidak mengandung, seluruh ahli keluarga begitu terluka dan sudah terlewat untuk memohon maaf ketika ini.

“Suami Ruby belum dapat menerima kenyataan isterinya meninggal dunia secara tiba-tiba dan dia masih terkejut. Dia tidak akan membuat sebarang temu bual dengan media buat masa ini dan kami berharap semua pihak memberikannya sedikit masa dan ruang buat sementara waktu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah ketika dihubungi berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kejadian itu termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Disiarkan pada: February 24, 2017 @ 9:41am
d