mutakhir

Kunjungan beri impak besar hubungan dua hala

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kunjungan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia selama empat hari bermula esok akan memberi impak besar kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Lawatan di atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V itu adalah kunjungan julung kali Raja Salman ke Malaysia selepas ditabal sebagai Raja Arab Saudi pada 23 Januari 2015.

Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Abdul Halim Sidek berkata, kehadiran penjaga dua kota suci ke Malaysia akan mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara dua negara.

“Semua sedia maklum Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Arab Saudi dan pemerintah negara itu sebelum ini, namun selepas Raja Salman dilantik sebagai raja baru, kita tertanya-tanya adakah baginda mempunyai dasar baru?

“Namun, kesudian baginda memenuhi jemputan dianggap perkembangan positif kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan ia jelas memberi signifikan tersendiri,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Abdul Halim, selain perbincangan berkaitan hubungan diplomatik dan ekonomi topik lain yang boleh diketengahkan, termasuk berkaitan isu kuota haji Malaysia dan kerjasama dalam bidang pendidikan.

Disiarkan pada: February 25, 2017 @ 5:52am
d