mutakhir

Gelandangan kelaparan

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: Simpati terhadap nasib gelandangan yang ditemui kelaparan menyebabkan sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertindak segera menghulurkan bantuan kecemasan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang semalam, lelaki berusia 50-an itu ditemui merayau di Jalan Kuching, di sini oleh anggota APM.

Pegawai Pasukan APM Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, sepasukan anggota APM dalam perjalanan pulang ke ibu pejabat ditahan anggota polis di laluan berkenaan.

“Anggota APM sebelum itu yang bertugas di PWTC memberhentikan kenderaan sebelum dimaklumkan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak terurus.

“Anggota polis bimbang berlaku kemalangan sekiranya lelaki gelandangan itu melintas jalan,” katanya.

Menurutnya, anggota APM kemudian membuat pemeriksaan sebelum mendapati lelaki itu mempunyai masalah kesihatan.

“Anggota APM kemudian memberikan rawatan awal terhadap lelaki yang ditemui lemah dan kurus kering berikutan sudah beberapa hari tidak makan,” katanya.

Shahrul Kamar berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Disiarkan pada: February 25, 2017 @ 6:26am
d