mutakhir

Dinding berlubang, bumbung bocor

Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Balik Pulau: Dinding rumah berlubang, bumbung bocor dan pintu dimakan anai-anai pasti akan meruntun hati setiap insan yang melihatnya.

Namun, itulah kediaman yang menjadi tempat tinggal suri rumah, Nurfizatul Anum Razman, 35, bersama suami serta tiga anaknya, di Lorong Hassan Abbas, Teluk Bahang.

Nurfizatul yang sembilan tahun mendirikan rumah tangga dengan Khairul Nizam Kassim, 30, dikurniakan tiga anak, iaitu Mohamad Nazwan Aliff, 7, Nurfarhana Atirah, 5, dan Mohamad Aliyan Syafiq, 3, menetap di rumah mentuanya sejak berkahwin.

Khairul Nizam yang sebelum ini bekerja sebagai buruh kontrak terpaksa berhenti selepas projek perumahan siap dan mencari kerja baru untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Menurut Nurfizatul, suaminya kini bekerja membaiki motosikal dari rumah dan hanya mendapat pendapatan yang cukup untuk mereka berlima makan beberapa hari.

“Adakalanya, saya dan suami terpaksa meminjam wang daripada adik dan saudara lain untuk membeli keperluan asas seperti beras dan lampin anak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, hidup mereka bertambah teruk selepas beberapa kali pencuri masuk dan mengambil barang berharga di rumahnya tahun lalu.

Sementara itu, Nurfizatul berkata, mereka sekeluarga juga hidup dalam keadaan bimbang apabila rumah didiami kerap dimasuki ular dan haiwan berbisa lain.

“Tiga hari lalu, ada ular sawa masuk ke rumah dan saya risau kerana ada anak kecil,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Nurfizatul boleh menghubunginya di talian 013-4165986.

Disiarkan pada: February 26, 2017 @ 5:40am
d