mutakhir

Nasib baik anak ke rumah sepupu

Kota Bharu: Hanya rasa syukur mampu diucapkan sepasang suami isteri apabila anak mereka berusia sembilan tahun yang ditinggalkan sendirian di rumah di Kampung Jejabi, Banggu di sini, terselamat daripada kebakaran.

Dalam kejadian jam 3.25 petang kelmarin, rumah Abdul Halim Yusoff, 43, terbakar dan ketika itu hanya anaknya Afiz Zakuan berada di rumah manakala dia, isteri Siti Zaleha Hashim, 37, dan tiga anak yang lain ke Pasir Tumboh.

Abdul Halim berkata, dia terkejut menerima panggilan telefon daripada jiran memberitahu rumah pusaka berusia 28 tahun dihuninya terbakar.

“Saya hanya terbayang Afiz Zakuan sahaja ketika itu kerana bimbang dia terperangkap dan berlaku perkara tak diingini, memandangkan dia masih kecil.

“Bagaimanapun, saya lega dan sangat bersyukur apabila dimaklumkan Afiz tiada di rumah ketika itu dan bermain di rumah sepupu tidak jauh dari rumah kami.

“Walau tinggal sehelai sepinggang, kami tetap bersyukur kerana anak terselamat. Nyawanya lebih penting daripada segala-galanya,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, Afiz Zakuan mahu ditinggalkan di rumah dan enggan mengikut mereka ke Pasir Tumboh membeli barang keperluan.

“Disebabkan mahu keluar sekejap sahaja, maka saya izinkan dia tinggal di rumah. Tak sangka kejadian ini berlaku.

“Saya bersyukur kepada Allah kerana Afiz terselamat. Banyak kerugian sekalipun tidak dapat dibandingkan jika anak saya terkorban dalam kebakaran itu,” katanya yang menumpang di rumah ibunya untuk sementara waktu.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohammad Shamsudin Ismail berkata, 24 anggota termasuk lima dari Pasukan Bomba Sukarela Pasir Tumboh ke lokasi sebaik menerima panggilan pada 3.46 petang.

“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak dan usaha memadamkan kebakaran terus dijalankan

“Api berjaya dikawal pada jam 4.18 petang dan ia dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian,” katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa berlaku dan tidak menolak punca kejadian akibat litar pintas.

Disiarkan pada: February 27, 2017 @ 5:01am
d