mutakhir

Galak miliki hartanah

Oleh Siti Nor Amirah Abu Bakar

Shah Alam: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan skim pemilikan hartanah ‘Smart Ownership PKNS’ pada Hari Mesra Pelanggan PKNS, di sini, semalam.

Ia menawarkan Skim Pemilikan Pertama (1st Ownership) serta Skim Kesetiaan (Loyalty Scheme) yang memberi peluang keemasan kepada pembeli menikmati faedah pemilikan hartanah bagi tempoh enam bulan hingga penghujung tahun ini untuk projek PKNS terpilih.

Skim Pemilikan Pertama terbuka kepada semua dengan diskaun 10 peratus, sifar bayaran pendahuluan serta Perjanjian Jual Beli (SPA) dan ‘Memorandum of Tranfer’ (MOT) ditanggung oleh PKNS.

Pembeli yang memiliki sekurang-kurangnya satu projek PKNS berpeluang menikmati Skim Kesetiaan iaitu pemilikan kedua hartanah PKNS dengan tawaran diskaun sebanyak 12 peratus termasuk tanggungan SPA dan MOT oleh PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Noraida Mohd Yusof berkata, pemberian rebat tunai kepada bakal pembeli adalah inisiatif PKNS bagi menggalakkan pemilikan hartanah dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

Beliau berkata, PKNS berharap dengan pakej jualan dan insentif yang ditawarkan itu, ia dapat merancakkan lagi jualan projek hartanah PKNS.

“Tawaran ini dibuka untuk tempoh enam bulan yang berakhir 31 Julai ini bagi pembelian projek PKNS antaranya Anggun Kirana (Alam Nusantara), Cassia (Antara Gapi), Azhara (Seksyen 6B, Antara Gapi), Puteri Daffina 2 (Seksyen 2, Kota Puteri) serta Citrina 2 dan Citrina 3 (Bernam Jaya).

“Pembelian projek baru yang dilancarkan pada tahun ini adalah layak untuk mendapat insentif sehingga Disember ini,” katanya.

Pengurus Komunikasi Korporat PKNS Ishak Hashim berkata, program yang masuk tahun kelima penganjurannya itu bertujuan mendapatkan maklum balas dan cadangan berkaitan perkhidmatan yang disediakan PKNS untuk menambah baik serta meningkatkan mutu perkhidmatan.

Menurutnya, dalam program itu, lima anak syarikat PKNS turut serta iaitu Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd, PKNS Engineering & Construction Bhd, Selaman Sdn Bhd, PKNS Infra Berhad dan Worldwide Holdings Berhad.

Sementara itu, pengunjung Nor Faiza Mokhtar, 38, berkata, harga rumah yang berpatutan dengan seni bina moden menarik minatnya untuk membeli rumah kedua sekali gus bakal dijadikan pelaburan masa depan.

“Ekonomi ketika ini
tidak menentu, kita tidak dapat ramal apa akan jadi pada masa akan datang,
jadi dengan adanya program ini, saya rancang membeli rumah kedua melalui
projek PKNS.

“Bukan apa, rumah
itu nanti akan saya jadikan pelaburan bagi kesenangan anak-anak apabila mereka besar nanti,” katanya ketika ditemui.

Pengunjung lain Putra Akbar Shah Mohd Idris, 38, berkata, program yang diperkenalkan PKNS itu memberi manfaat kepada orang ramai dan manfaat diskaun antara 10 dan 12 peratus itu sangat istimewa.

“Selain dapat diskaun, pembeli turut menerima beberapa manfaat lain seperti sifar bayaran pendahuluan malah PKNS turut menampung kos SPA dan MOT.

“Ini penjimatan berganda, rugi rasanya jika kita tidak ambil peluang yang ditawarkan itu,” katanya ketika ditemui.

Disiarkan pada: February 27, 2017 @ 5:06am
d