mutakhir

Lelaki dicekup sejam selepas larikan kereta

Oleh myMetro

Segamat: Seorang penjenayah kes ragut ditahan polis sejam selepas melarikan sebuah kereta di Kampung Gubah di sini, semalam.

Suspek berusia 28 tahun diberkas di persimpangan lampu isyarat di Labis, di sini, oleh anggota Balai Polis Labis ketika memandu Proton Saga FLX dicuri sekitar jam 11.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, terdahulu seorang lelaki berusia 53 tahun membersihkan kereta di hadapan kediamannya di Kampung Gubah di sini, kira-kira jam 10.30 pagi.

Katanya, mangsa bagaimanapun terkejut apabila suspek merampas kunci kenderaan diletakkan di bahagian bonet sebelum melarikan kereta mangsa.

“Mangsa sempat berpaut ke cermin sisi kiri kereta menyebabkan dia diseret sejauh 30 meter dalam usaha menghalang penjenayah itu melarikan kenderaannya.

“Namun dia terpaksa melepaskan pautan apabila suspek memecut kenderaan semakin laju menyebabkan dia cedera di lutut kanan dan kaki kiri,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di balai polis berdekatan sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Raub berkata, kenderaan dicuri suspek bagaimanapun dikesan polis sejam kemudian sebelum lelaki itu diberkas.

Katanya, siasatan mendapati suspek lelaki tempatan itu positif dadah syabu.

“Siasatan turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya empat kes ragut selain dua kes dadah di daerah ini,” katanya.

Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 394/379(1)A atas jenayah samun serta melarikan kenderaan.

Disiarkan pada: February 27, 2017 @ 9:41am
d