mutakhir

'Bukan saya!'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Petaling Jaya: Seorang pelajar wanita yang disyaki memijak kepala pelajar tingkatan satu hingga ‘bocor’ kepala di sebuah sekolah Bandar Damansara, di sini, Khamis lalu, menafikan melakukan perkara itu.

Pelajar dikenali sebagai Fatin, 15, membuat laporan polis sejurus gambar dia dan ibunya tular hingga menimbulkan kemarahan netizen di laman sosial.

Dalam laporan berkenaan, pelajar tingkatan tiga itu mendakwa dia mendapat kecaman netizen selepas disyaki terbabit dalam kejadian itu sedangkan pelaku sebenar rakannya.

Malah, rakannya yang bertanggungjawab memijak kepala pelajar perempuan tingkatan satu itu juga sudah membuat pengakuan di hadapan guru sekolah berkenaan.

“Saya buat laporan polis ini bagi melindungi diri dan juga ibu,” katanya dalam satu laporan polis.

Harian Metro 25 Februari lalu melaporkan pelajar perempuan terkoyak kulit kepala selepas menjadi mangsa belasahan dua pelajar senior.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, mangsa berusia 13 tahun ditemui berlumuran darah oleh pelajar lain.

Disiarkan pada: February 27, 2017 @ 9:45am
d