mutakhir

Keluarga kaki 'auta'

Oleh Fardy Bungga

Ampang Jaya: Keluarga penuh ‘auta’. Itu gambaran terhadap tiga sekeluarga termasuk bapa, ibu dan anak yang mendakwa terpaksa menagih syabu atas alasan mengubati penyakit sendiri dihadapi.

Ketiga-tiga mereka memberi pelbagai alasan tidak lojik ketika ditahan sepasukan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di rumah didiami di Pandan Indah, jam 10 pagi kelmarin.

Ketika disoal siasat, wanita dan anaknya itu masing-masing berusia 44 dan 22 tahun mendakwa kononnya menagih untuk menghilangkan sakit kaki dan jari tangan.

Manakala si bapa yang berusia 40-an pula memberi alasan terpaksa mengambil bahan terlarang itu untuk mendapatkan tenaga tambahan berikutan membanting tulang mencari nafkah demi keluarga.

Bagaimanapun alasan yang diberikan itu tetap gagal untuk membebaskan mereka daripada ditahan AADK selepas didapati positif ujian saringan air kencing.

Ketika ditemui, wanita itu mendakwa menderita sakit kaki sejak beberapa bulan lalu sebelum mengambil keputusan mencuba lebihan syabu dihisap suaminya.

Dia yang dikenali sebagai Salmah mendakwa mengambil dadah sejak empat bulan lalu selepas kakinya tidak mampu untuk berjalan seperti biasa.

“Sejak itu, saya menagih dadah apabila terasa sakit di kaki. Tak sangka akhirnya akan jadi begini (ditahan).

“Tapi saya terkejut apabila mendapat tahu anak juga menagih dadah. Dia beri alasan mengambil syabu kerana tidak tahan sakit pada jari tangan yang patah akibat kemalangan motosikal bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, suaminya mendakwa mengambil dadah untuk menghilangkan rasa mengantuk ketika membuat kerja pertukangan.

Katanya, dia akan lebih teliti dan cepat membuat kerja yang ditempah pelanggannya.

“Saya ambil syabu sejak setahun lalu selepas diperkenalkan rakan. Kawan kata syabu boleh menghilangkan rasa mengantuk dan menambah tenaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Jaya Hasnina Ibrahim berkata, tiga sekeluarga itu ditahan berikutan aduan dan risikan yang dilakukan pihaknya.

Katanya, ujian saringan air kencing dijalankan terhadap mereka mendapati mereka positif syabu.

“Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“Kami perlu melihat dari pelbagai aspek sebelum tindakan boleh diambil termasuk menghantar ke pusat pemulihan sekiranya perlu,” katanya.

Menurutnya, operasi yang dijalankan itu adalah salah satu pelan strategik ‘Kempen Perangi Dadah Habis-Habisan’ yang dilancarkan sebelum ini.

Disiarkan pada: February 27, 2017 @ 9:59am
d