mutakhir

UIAM lakar satu lagi sejarah

Kuala Lumpur: Persiapan majlis penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik (Islam dan Wasatiyyah) dan Anugerah Pencapaian Kecemerlangan Sepanjang Hayat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada Raja Arab Saudi yang juga penjaga dua kota suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud berjalan lancar.

Tinjauan Harian Metro mendapati persiapan majlis penganugerahan yang akan diadakan malam ini sudah dimulakan sejak minggu lalu.

Menurut jurucakap universiti berkenaan, seramai 1,500 jemputan khas dijangka hadir menyaksikan majlis berkenaan.

“Persiapan membabitkan perancangan perjalanan majlis, persiapan tempat, senarai jemputan dan sebagainya berjalan lancar.

“Kita melakukan persiapan seminggu lebih awal bagi memastikan perjalanan majlis bersejarah itu berlangsung tanpa sebarang masalah,” katanya.

Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mencemar duli berangkat dan menyampaikan anugerah berkenaan pada Majlis Konvokesyen Khas di Dewan Utama Pusat Kebudayaan (ICC) Kampus Gombak.

UIAM dalam kenyataannya memaklumkan Raja Salman dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Sains Politik (Islam dan Wassatiyyah) oleh Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan universiti terbabit.

Ia sempena jasa baginda yang mendokong Islam wassatiyyah ke arah keamanan global melalui kesederhanaan dalam semua aspek kehidupan merangkumi agama, politik dan sosial, selain banyak menyumbang ke arah wacana Islam dan wasatiyyah.

“Pada majlis konvokesyen berkenaan, Raja Salman juga akan diberikan Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat bagi menghormati sumbangan baginda dalam memperjuangkan kebajikan Islam dan kesejahteraan di peringkat global.

“Ia bagi menghargai sumbangan baginda dalam mengukuhkan hubungan antara negara Islam serta kerja kemanusiaan kepada negara dan orang ditimpa bencana alam,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 4:47am
d