mutakhir

Petaka dari rumah kosong

Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: “Melihat api semakin marak, saya menjerit memanggil suami dan anak tunggal keluar menyelamatkan diri bersama semua barangan berharga,” kata wanita yang dikenali sebagai Singkatta, 45.

Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, empat rumah jirannya di Jalan Kuala Kali, Kampung Chuang, Rasa di sini, musnah dalam kebakaran, namun kediamannya tidak ‘diusik’ api, sekali gus menyelamatkan nyawa keluarganya termasuk anak berusia empat tahun.

Menurut Singkatta, dia terjaga daripada tidur apabila terdengar jeritan jiran dan segera membawa keluar barang berharga termasuk barangan elektronik serta perabot.

“Pada waktu itu, saya melihat jiran cuba memadamkan api dengan mengangkut air menggunakan baldi, namun gagal dan terpaksa menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.

“Walaupun rumah saya tidak terbabit dalam kebakaran itu, semua barangan yang dibawa keluar hanya sebagai persediaan kerana kita tidak boleh menjangka apa bakal berlaku,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.

Bagi warga emas yang juga mangsa, Low Sam Mooi, 65, dia dan cucunya berusia 16 tahun tidak berfikir panjang serta keluar menyelamatkan diri tanpa membawa apa-apa.

“Kami terus berlari keluar apabila melihat api sudah marak di sebelah rumah,” katanya.

Menurutnya, jiran ternampak kebakaran bermula dari rumah kosong yang ditinggalkan lebih 20 tahun tanpa bekalan elektrik.

“Saya pelik bagaimana kebakaran boleh berlaku di rumah tidak berpenghuni sehingga mengakibatkan saya kerugian lebih RM120,000,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu Kamil Hamadan berkata, dua rumah yang terbabit kebakaran mengalami kemusnahan 100 peratus, manakala dua lagi musnah 60 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 20 minit dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 4:52am
d