mutakhir

Peniaga jual ayam ikut harga pasaran

Shah Alam: Jurang harga RM2 bagi satu kilogram (kg) ayam di beberapa pasar di sekitar bandar raya ini dan Klang berlaku berikutan harga ditetapkan pembekal.

Tinjauan wartawan Harian Metro mendapati rata-rata pembeli mengeluh dengan harga itu kerana wujud perbezaan antara RM6 hingga RM8 bagi satu kg.

Peniaga ayam di Pasar Seksyen 16, Mohd Onn Mansor, 49, berkata, pembekal mengambil bekalan ayam dari ladang dan menjualnya pada harga sedikit mahal kepada peniaga.

“Namun, kami menggunakan khidmat pembekal itu berikutan mahu jaminan status halal bagi setiap ayam dijual di pasar ini

“Kami mempunyai pelanggan tetap terutama peniaga restoran berikutan sumber dan bekalan status halal kami yang tidak perlu diragui,” katanya.

Bagi peniaga Pasar Pandamaran yang mahu dikenali sebagai Yusuf, 46, bekalan ayam diambil dari peladang kecil membuatkan harga sedikit murah.

“Kami menjual harga ayam RM6.50 satu kg dan ia lebih murah berbanding harga pasar lain,” katanya.

Pengguna, Hasruhah Tabut, 47, berkata, dia tidak kisah membelanjakan wang lebih membeli ayam.

“Harganya mungkin mahal sehingga ada mencecah RM8 satu kg, namun saya mementingkan status halal yang terjamin,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor Yusof Bakar berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati semua peniaga hanya menjual mengikut harga pasaran.

“Kami hanya dapat mengawal harga ayam apabila tiba musim perayaan menerusi skim kawalan harga.

“Bagaimanapun, KPDNKK akan menjalankan pemantauan berterusan supaya peniaga tidak boleh menaikkan harga sesuka hati,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 4:57am
d