mutakhir

Sikit lagi nak gila

Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: “Saya pernah mahu membawa semua anak tinggal di rumah kosong jika tiada wang pendahuluan rumah sewa,” kata ibu tunggal, Siti Fatimah Dalia Musa, 37.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia mengalami kemurungan dan gangguan emosi kerana memikirkan nasib menumpang di rumah orang tidak dikenali di sekitar Sungai Besar, Kuala Selangor sebelum ini.

Siti Fatimah berkata, dia bersama semua anaknya berusia sembilan hingga 17 tahun ketika itu tiada sumber makanan apatah lagi wang kerana tidak bekerja.

“Kami makan apa saja yang ada dan itu pun hanya sekali sehari. Saya buntu dan kalau bukan kerana anak, mungkin saya menjadi gila,” katanya ketika ditemui di Apartmen Kenanga, Taman Bunga Raya, di sini.

Menurutnya, ketiadaan wang memaksanya meminta bantuan semua kenalannya termasuk wartawan Harian Metro sehingga membawa kepada pengetahuan Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Selangor Zam Hasri Jaafar yang tampil menghulurkan bantuan, Jumaat lalu.

“Alhamdulillah, menerusi bantuan wang pendahuluan sewa rumah RM500, kami dapat mendiami rumah sewa baru di kawasan ini.

“Kini, saya hanya perlu berusaha mendapatkan kerja tetap bagi menampung keluarga termasuk bayaran sewa rumah RM300 sebulan,” katanya yang turut menerima bantuan makanan, tikar getah, dapur dan bantal.

Sementara itu, Zam Hasri berkata, pihaknya akan berusaha menghulurkan bantuan sekiranya keluarga ibu tunggal berkenaan masih memerlukannya.

“Selain itu, saya mahu memastikan semua anak dapat bersekolah seperti biasa di sekolah berdekatan,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 4:59am
d