mutakhir

Banjir lumpur lagi...

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuantan: “Kerja pembersihan kedai makan serta peralatan memasak yang terjejas akibat banjir bulan lalu pun belum selesai dan kini saya diuji lagi dengan kejadian banjir lumpur, pagi tadi (semalam),” keluh mangsa banjir, Zulkefli Talib, 51.

Dia yang seakan sudah lali dengan kejadian banjir yang sering melanda Sungai Lembing, di sini, berkata, air serta lumpur memasuki premisnya kira-kira jam 3.30 pagi, semalam.

Zulkefli yang memulakan perniagaan itu sejak 15 tahun lalu berkata, dia sudah biasa dengan kejadian banjir lumpur yang menimpa kedainya saban tahun.

“Banjir bulan lalu, saya tidak sempat bersihkan sepenuhnya dan kini berlaku banjir lagi.

“Apa yang boleh saya buat adalah membersihkan kawasan kedai sedikit demi sedikit,” katanya ketika ditemui melakukan kerja pembersihan akibat banjir lumpur, semalam.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, hujan lebat sejak jam 12 tengah malam menyebabkan kawasan kedai makannya dinaiki air secara mendadak hingga dia tidak sempat memindahkan peralatan kedainya ke kawasan lebih selamat.

Zulkefli menganggarkan kerugian RM1,000 yang terpaksa ditanggung akibat kejadian itu dan memaklumkan kedai makannya tidak dapat beroperasi hingga kerja pembersihan siap dilakukan.

Menurutnya, air banjir setinggi hampir satu meter itu menyebabkan jalan raya berhampiran kawasan kedainya tidak dapat dilalui kenderaan hingga jam 9 pagi, semalam.

Sementara itu, pengusaha warung kopi Liong Wai Chong, 32, berkata, dia yang ingin membuka kedainya pada jam 6 pagi terkejut apabila mendapati kebanyakan peralatan memasak dan membancuh air disaluti lumpur.

“Kawan-kawan beritahu banjir berlaku jam 3.30 pagi, saya datang kedai jam 6 pagi untuk buat persiapan terkejut kerana banyak barang ditenggelami banjir,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 5:04am
d