mutakhir

Kanak-kanak dipercayai sesat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui dalam keadaan ketakutan dan menangis oleh orang awam berhampiran masjid di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, kanak-kanak itu ditemui seorang wanita yang melalui kawasan berkenaan.

Menurut sumber, kanak-kanak itu dilihat berseorangan dan dipercayai tersesat.

“Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dilihat duduk sambil menangis di kawasan berkenaan sebelum ditemui seorang wanita yang melalui kawasan terbabit.

“Keadaan kanak-kanak lelaki itu yang dalam ketakutan kemudian dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan kanak-kanak itu.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 8:38am
d