mutakhir

Tahan suspek berdasarkan bukti

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Penahanan suspek wanita warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam dilakukan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan menyeluruh berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, wanita berasal dari Serang, Indonesia itu ditahan bukan berasaskan andaian, sebaliknya selepas siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Beliau yang menolak dakwaan bahawa suspek diperdaya untuk melakukan tindakan itu turut mengulangi wanita berkenaan sudah menjalani latihan sebelum serangan pada 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Mereka boleh kata apa saja, tetapi siasatan kami menunjukkan sebaliknya.

“Alasan kami masih menahannya dan suspek lain bukan kerana berdasarkan pada andaian. Kami menahan mereka berdasarkan apa yang dijumpai melalui siasatan yang menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Harian Metro melalui aplikasi WhatsApp.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan rakan suspek wanita itu mendakwa, dia meraikan hari jadinya di sebuah kelab malam yang terkenal di Kuala Lumpur pada malam sebelum berlakunya pembunuhan.

“Saya tidak percaya dia akan membunuh mana-mana individu hanya untuk mendapatkan wang. Mustahil. Saya rasa dia sudah diperdaya,” jelas rakannya.

Menurut rakannya itu, suspek yang bercita-cita untuk menceburi industri hiburan tidak mempunyai motif untuk membunuh Jong-nam dan bertekad untuk menceburi industri hiburan.

Bagaimanapun, Khalid menolak dakwaan rakan suspek sebelum menyatakan ia adalah dakwaan semata-mata dan PDRM melakukan tangkapan mengikut lunas undang-undang.

Siti Aisyah dan seorang lagi wanita, warga Vietnam, adalah antara mereka yang ditahan berhubung pembunuhan itu.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 8:48am
d