mutakhir

Sekeluarga sengsara

Oleh Nazdy Harun

Kuala Nerus: “Mulanya saya ingatkan penyakit biasa saja namun selepas disahkan hospital pertengahan Januari lalu, baru saya tahu anak saya, Amna Umairah Ali menghidap barah otak,” kata Siti Khatijah Mohd Raja, 35, dari Kampung Bukit Agu, di sini, semalam.

Menurutnya, anaknya yang berusia 12 tahun terpaksa melupakan alam persekolahan sejak Julai 2015 kerana ketika itu, anaknya seolah-olah menghidap penyakit angin ahmar dan mendapatkan rawatan pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Anaknya dijadualkan menjalani rawatan radioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan bulan depan.

“Selain anak yang menghidap barah otak, saya pula menghidap penyakit ‘Systemic Lupus Ery Themasos Lupus Nephvitis Class 4’ iaitu kecelaruan imun sejak 2012 manakala ibu mertua menghidap penyakit buah pinggang dan bapa mentua pula mengalami sakit tua. Kedua-dua mereka tinggal bersama kami.

“Suami, Ali Putih penjaja perlu membahagikan masa menjaga anak dan ibu bapanya namun saya bersyukur kerana permohonan ibu dan bapa mentua untuk mendapatkan bantuan melalui Tabung Darul Iman (TDI) diperoleh sebelum ini selain bapa mentua memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM200 sebulan,” katanya.

Menurutnya, anaknya melalui proses rawatan membuang air dan memasang tiub di dalam kepala dan kini bergantung kepada susu sepenuhnya yang diberi melalui tiub khas yang dipasang melalui hidung.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Rakit Bazlan Abdul Rahman maklum mengenai keluarga itu kerana sebelum ini, ibu bapa mentua Siti Khatijah dibantu termasuk proses memperoleh bantuan melalui TDI.

“DUN (Dewan Undangan Negeri) mengetahui permasalahan yang dihadapi anak wanita berkenaan yang tidak bersekolah sejak 2015 kerana mengalami masalah kesihatan serius,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2017 @ 8:54am
d